SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mendakwa masih belum menerima butiran prosedur operasi standard (SOP) daripada kerajaan Persekutuan berhubung pembukaan beberapa sektor semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula esok.
Justeru, Amirudin mempersoalkan bagaimana sebenarnya perincian SOP berkenaan.
"Menurut pengumuman terbaru PM, esok bermula PKPP, dengan beberapa sektor dibuka seperti gunting rambut, salon dan aktiviti sukan tanpa sentuhan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
"Sampai jam 7:23 petang (hari ini) kami belum menerima butiran SOP dari kerajaan Persekutuan. Jadi macam mana?" tulis Amirudin di akaun Twitter miliknya sebentar tadi.
Ahad lalu, media melaporkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) digantikan dengan PKPP yang menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberi bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perkara itu di pejabatnya yang disiarkan secara langsung di saluran televisyen tempatan.
Muhyiddin menjelaskan pelaksanaan PKPP melibatkan tujuh strategi iaitu Pengukuhan Kesihatan Awam; Perundangan dan Penguatkuasaan; Pengukuhan Kawalan Sempadan; Pembukaan Sepenuhnya Sektor Ekonomi; Pembudayaan Kebiasaan Baharu; Pemerkasaan Tanggungjawab Komuniti dan Perlindungan Golongan Berisiko.
Tegasnya, strategi itu akan dilaksanakan melalui Jawatankuasa Khas Menteri Mengenai Pelaksanaan PKPP yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan (Kluster) Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Di peringkat kerajaan negeri pula, strategi tersebut akan dilaksanakan melalui jawatankuasa yang diwujudkan oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri, katanya.
Terdahulu, pada 1 Mei lalu, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan PKPB bagi menggantikan PKP yang dilaksanakan sejak 18 Mac lepas bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.
PKPB yang sebelum ini dilaksanakan dari 4 hingga 12 Mei membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi semula, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).