'Tak sabar nak bawa pelancong jalan'

Iklan
Terminal Jeti Lumut yang menghubungkan 'tanah besar' dengan Pulau Pangkor.

LUMUT - Pulau Pangkor yang diisytihar sebagai pulau bebas cukai, Januari lalu mula menerima kehadiran pelancong, esok selepas hampir tiga bulan sepi tanpa sebarang aktiviti pelancongan susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Tinjauan Sinar Harian hari ini mendapati, rata-rata mereka yang terlibat dalam industri perhotelan, perniagaan berasaskan hasil laut dan barangan bebas cukai serta perkhidmatan teksi telah melakukan persediaan rapi untuk menyambut kehadiran pengunjung.

Iklan
Iklan

Seorang pemandu teksi, Muhammad Latif Saad, 37, berkata, selari dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, kenderaan digunakan telahpun dibersihkan dan diselenggara dengan baik.

Muhammad Latif membersihkan teksi van berwarna merah jambu sebagai persediaan menyambut kehadiran pelancong ke Pulau Pangkor esok.

Katanya, mereka juga sudah mendapatkan maklumat lanjut berhubung pematuhan itu antaranya menitikberatkan jarak, pemakaian pelitup muka dan mengelak membawa pengunjung ke tempat yang sesak.

Iklan

"Sejak semalam lagi, saya bersama pemandu lain sudah menerima tempahan untuk perkhidmatan membawa pelancong yang bermula esok.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Hotel, Resort Pangkor tawar diskaun sehingga 30 peratus

"Saya sangat bersyukur dengan perkembangan ini, pastinya esok suasana di Pangkor kembali meriah. Saya juga sudah rindu mahu bawa pelancong pusing pulau selepas hampir tiga bulan tidak beroperasi," katanya.

Menurutnya, sebagai menghargai kehadiran pelancong, mereka pengusaha teksi van berwarna merah jambu yang merupakan identiti Pulau Pangkor itu bersedia memberikan pengurangan tambang sehingga 30 peratus.

Pulau Pangkor

Iklan

"Kalau sebelum ni aktiviti mengelilingi pulau akan dikenakan caj RM100 bagi satu van, mungkin kali ini kita boleh kurangkan kepada RM70, anggap ini satu strategi untuk menarik lebih ramai berkunjung ke sini," katanya.

Pengusaha produk hasil laut, Rasdi Ibrahim, 47, berkata, sebaik pengumuman PKPP yang antara lain menggerakkan semula sektor pelancongan domestik dibuat Ahad lepas, dia sudah menerima lapan slot lawatan ke kilangnya di Sungai Pinang Kecil di sini.

Rasdi menunjukkan ikan bilis mata biru yang siap dibungkus yang ditempah pelanggan.

Menurutnya, kilang yang menempatkan galeri produk usahawan seluruh Perak dan jualan pelbagai ikan bilis itu menjadi antara lokasi wajib dilawati, namun kali ini beroperasi dengan pematuhan baharu.

"Aspek kebersihan akan dipertingkatkan, begitu juga kawalan pergerakan pekerja dan pengunjung, bagi memastikan ada penjarakan sosial, kita hadkan setiap sesi lawatan hanya untuk satu kumpulan saja dan tidak lebih 20 individu," katanya.

Bagi memenuhi permintaan pengunjung, pihaknya sudah mendapatkan lebih 10 tan bekalan mentah seperti ikan dan sotong bagi penyediaan produk-produk makanan hasil laut.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Mac lalu pembelian barangan hanya dibuat melalui atas talian sahaja, begitupun permintaan merosot hampir 80 peratus menyebabkan banyak kualiti produk makanan siap antaranya sate ikan terjejas.

"Oleh kerana ketika ini sesi persekolahan belum bermula, kita jangkakan ramai pengunjung masuk ke pulau ini, jadi kena pastikan hasil produk kita mencukupi untuk mereka beli," katanya.

Penyelia Kedai Coklat Laris Pangkor, Hajarul Aswad Md Azmi, 25, turut tidak ketinggalan membuat persiapan pematuhan PKPP sekaligus menyediakan beberapa promosi istimewa terhadap jualan coklat.

Hajarul Aswad

Katanya, premisnya yang memegang status bebas cukai itu hanya sempat beroperasi selama dua bulan bermula Januari lalu sebelum ditutup berikutan wabak Covid-19.

"Kelonggaran diberikan kerajaan kali ini merupakan satu petanda baik untuk peniaga-peniaga kembali merancakkan jualan produk mereka.

"Bagi saya, bukan sahaja keselamatan dan kesihatan pengunjung jadi keutamaan, perlu juga pastikan kalangan pekerja mengamalkan garis panduan diberikan," katanya.

Terdahulu, Pengerusi Persatuan Pembangunan Hotel dan Resort Pulau Pangkor, Munir Shaari memaklumkan, beberapa hotel dan resort di pulau peranginan itu sudah mula menerima tempahan penginapan daripada pelancong termasuklah untuk penginapan bermalam, esok.