INI kisah tentang salah satu cara penduduk di kampung Merak Jalanan memujuk anak-anak kecil mereka berpuasa sekitar awal tahun 1980-an.
Pada masa itu, siapa yang berpuasa sebulan penuh, maka kononnya sebulan jugalah dia boleh beraya. Kalau berpuasa dua minggu, raya pun dua minggu saja.
Maka, budak-budak pun berlumba-lumba berpuasa apatah lagi bilangan hari berpuasa turut menentukan jumlah duit raya yang mereka akan terima daripada ibu bapa.
Tanpa sedar, amalan berpuasa sebulan beraya sebulan ini rupa-rupanya sudah lama berakar umbi dalam budaya masyarakat Melayu di Malaysia walaupun hari raya yang sebenar hanyalah sehari iaitu pada 1 Syawal.
Justeru, bagi sesetengah orang, pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula hari ini oleh Perdana Menteri pada Sabtu lalu ibarat pengumuman tarikh hari raya oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada hari terakhir Ramadan.
Masakan tidak, setelah tiga bulan terkurung dek kawalan pergerakan, inilah hari pertama rakyat Malaysia boleh merentas negeri untuk balik kampung seterusnya menyambut raya bersama keluarga.
Merak Jalanan dapati rata-rata pengguna laman sosial, termasuk tokoh dan selebriti, tidak sabar untuk pulang beraya dan bertemu ibu bapa yang sudah sekian lama tidak berjumpa.
Malah, pihak polis seperti di Kelantan juga telah bersiap sedia untuk menerima kemasukan mendadak kenderaan anak perantau ke negeri itu.
Biarpun banyak perdebatan mengenainya, konsep puasa sebulan beraya sebulan kembali membakar mood raya Merak Jalanan.
Keterujaan itu tidaklah pula sampai melupakan ancaman wabak Covid-19 yang mampu mengubah keceriaan lebaran kepada derita berpanjangan.