SHAH ALAM - Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) meramalkan peningkatan jumlah kemalangan jalan raya apabila aktiviti merentas negeri dibenarkan secara menyeluruh tanpa sekatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula hari ini.
Ketua Pengarahnya, Dr Khairil Anwar Abu Kassim berkata, ia berikutan bilangan kenderaan di atas jalan raya dijangka meningkat secara mendadak ekoran budaya balik kampung rakyat Malaysia memandangkan Syawal masih belum berakhir sehingga 22 Jun nanti.
Sehubungan itu katanya, beberapa langkah dicadangkan untuk mengelak berlakunya kemalangan jalan raya antaranya memastikan pemandu utama mendapatkan rehat mencukupi sebelum melakukan perjalanan jauh.
"Perjalanan pada waktu malam amat tidak digalakkan memandangkan badan kita tidak dilatih untuk memandu pada masa tersebut.
"Dikhuatiri pemandu akan rasa mengantuk dan lebih senang untuk terlelap semasa memandu dan gejala ‘microsleep’ ini sering kali menyumbang kepada kemalangan jalan raya," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau dalam masa sama menasihatkan pemandu supaya bersabar dan memandu secara berhemah bagi mengelak tekanan sepanjang berada di jalan raya.
Katanya, situasi rakyat Malaysia berpusu-pusu untuk merentas negeri dibimbangi akan menyebabkan pemandu berada dalam keadaan tertekan disebabkan kesesakan lalu lintas.
"Oleh itu, pemandu diingatkan untuk peka dan mempraktikkan cara pemanduan yang selamat dan juga memastikan langkah persediaan sebelum memulakan perjalanan jauh.
"Patuhi had laju dan jangan lupa untuk sentiasa pakai tali pinggang keselamatan," katanya.
Katanya, penunggang motosikal juga tidak terkecuali kerana dilihat lebih terdedah kepada bahaya berbanding pengguna kenderaan lain.
"Justeru itu, pemakaian yang bersesuaian seperti ves pemantul cahaya ketika menunggang motosikal wajib dipakai untuk memastikan mereka dapat dilihat pengguna jalan raya yang lain," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan analisis Miros terhadap data kemalangan jalan raya sepanjang tiga fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), bilangan kematian akibat kemalangan jalan raya menunjukkan trend penurunan purata kes kematian harian pada hari biasa daripada 17 kes kematian kepada lima kes kematian sepanjang PKP.
"Daripada jumlah tersebut, 73 peratus kematian akibat kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal dan 95 peratus kemalangan berlaku di jalan-jalan persekutuan, jalan bandaran dan jalan luar bandar," katanya.
Ahad lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKPP bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini yang membenarkan rakyat untuk merentas negeri.
Kerajaan melarang pergerakan rentas negeri selama lebih tiga bulan sejak PKP dilaksanakan bermula 18 Mac lalu bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19).