'Tok abah' Perdana Menteri pragmatik

Iklan
Gelaran abah Muhyiddin atau tok abah dilihat sudah cukup menunjukkan penerimaan rakyat terhadap kepimpinannya.

KUALA LUMPUR - ‘Abah Muhyiddin’ atau 'tok abah'. Gelaran sedemikian sebenarnya sudah cukup menunjukkan penerimaan rakyat terhadap kepimpinannya.

Walaupun baru 100 hari menjadi perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang selalu tampil berucap dengan stail santai, selain sentiasa mengikuti perkembangan terkini isu-isu tular dalam kalangan rakyat dilihat berjaya merobohkan ‘dinding’ antara pemimpin dan rakyat.

Iklan
Iklan

Analogi ‘mak cik Kiah’ yang diketengahkan dalam ucapannya sebelum ini bagi membantu rakyat yang terkesan dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19) terus lekat di bibir rakyat sehingga hari ini.

"Kita melihat reaksi rakyat lebih berasa senang, tenang dan selesa dengan stail Tan Sri selaku Perdana Menteri. Kaedah santai dan pertuturan yang mudah diperjelas kepada rakyat membawa kesan baik kepada masyarakat,” kata penganalisis politik, Md Shukri Shuib.

Iklan

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik & Antarabangsa Universiti Utara Malaysia itu berpendapat santainya tidak ‘kosong’ kerana setiap langkah diambilnya bukan sahaja memerlukan arahan segera, berani dan tegas tetapi juga kebijaksanaan dalam mengatur strategi agar kepentingan semua pihak terjaga.

"Jika dilihat dari segi pengurusan kerajaan dalam menangani penularan koronavirus (Covid-19) serta kaedah menangani kesan impak ekonomi ke atas rakyat menunjukkan kewibawaan dan keprihatinan beliau sebagai ketua kerajaan. Ini membawa kelegaan kepada rakyat walaupun berada dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac.

Iklan

"Lihat sahaja dari segi langkah bukan konvensional yang tiba-tiba dilaksanakan menuntut komitmen pihak industri perbankan untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi pelaksanaan moratorium menyeluruh.

"Ini langkah yang menunjukkan bahawa beliau memahami sistem ekonomi yang membawa kesan baik pada persekitaran pelbagai dimensi ekonomi dan sosial negara,” katanya.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan pada 1 Mac lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kisah 100 hari tok abah Malaysia

Hanya selepas 16 hari menerajui pentadbiran negara, beliau mengambil langkah drastik mengisytiharkan PKP bagi mengekang penularan Covid-19 dan 11 hari kemudian mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion yang menawarkan pelbagai bantuan kepada rakyat dan pihak industri yang terkesan dengan Covid-19 termasuk Bantuan Prihatin Rakyat.

Tidak salah dan terlalu awal juga menurut Md Shukri, jika dilabelkan Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai Bapa Kebajikan Rakyat, dek pelbagai bantuan diberikannya kepada rakyat bagi membantu mereka menongkah arus kemelesetan ekonomi ekoran Covid-19 yang sedang melanda negara.

Turut bersetuju ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian yang menyifatkan Muhyiddin sebagai seorang pemimpin pragmatik yang meleraikan masalah rakyat secara praktikal, sesuai dengan keadaan semasa atau realiti ekosistem tanah air.

Sivamurugan Pandian

Perlu diingatkan katanya, Muhyiddin hadir ketika negara berhadapan dengan krisis kesihatan, ekonomi dan politik, justeru sudah tentu ada keputusan popular dan tidak popular dibuat untuk memastikan hala tuju negara tidak terjejas.

"Pengiktirafan ini bukan sahaja di dalam negara. Beliau turut diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan dunia atas keupayaan Malaysia berhadapan dengan wabak Covid-19 ini,” katanya.

Sebagai rekod, Muhyiddin sebelum ini turut menerima panggilan telefon daripada rakan sejawat Amerika Syarikat, Donald J Trump dan Iran, Hassan Rouhani bagi membincangkan mengenai hubungan dua hala dan Covid-19.

Sivamurugan turut menarik perhatian terhadap keperibadian Muhyiddin yang tidak kekok mengetuai solat berjemaah dan bertakbir raya yang menurutnya memberi nilai tambah kepada pemimpin nombor satu negara itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Perdana Menteri kurang sangat berpolitik

Berlatarbelakangkan suasana politik tanah air yang mencabar dengan beberapa pemimpin politik 'bercakaran' merebut kuasa, kemunculan Muhyiddin sebagai perdana menteri yang berperwatakan sederhana, sabar, bijak dan berani dilihat tepat pada masanya.

Muhyiddin yang selalu tampil berucap dengan gaya santai, selain sentiasa mengikuti perkembangan terkini isu-isu tular dalam kalangan rakyat dilihat berjaya merobohkan ‘dinding’ antara pemimpin dan rakyat. - Foto BernamaPUTRAJAYA, June 5 -- Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin deliver his speech aired live over radio and television at Perdana Putra today.-- fotoBERNAMA (2020) COPY RIGHTS RESERVED

Pengarah Institut Kajian Analisis Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mashitah Mohd Udin berpendapat, kejayaan Muhyiddin sepanjang menerajui negara terserlah apabila beliau mampu meneruskan pentadbiran kerajaan dengan baik meskipun sering diasak dan diserang daripada pelbagai sudut oleh musuh-musuh politiknya.

"Walaupun berdepan cabaran politik, Muhyiddin memimpin kerajaan Perikatan Nasional dengan baik dan berjaya mengekalkan keamanan dalam Malaysia yang berbilang kaum ini. Tidak ada rusuhan kaum dan pertumpahan darah, keamanan dalam masyarakat dan kestabilan politik negara dapat dikekalkan," katanya.

Mashitah berkata, meskipun Muhyiddin mewarisi tradisi dan budaya politik Melayu, namun kekuatannya sebagai pemimpin negara terserlah apabila turut menyantuni masyarakat pelbagai kaum.

Menyifatkan Muhyiddin sebagai 'man of actions', beliau berkata, pemimpin negara itu mempamerkan personaliti yang bijak dan lebih banyak bekerja daripada bercakap kosong menyebabkan beliau disenangi rakyat, apa lagi dengan perwatakan sebagai 'figura bapa'.

Tambahan pula, Mashitah berkata, keluarga Muhyiddin yang dilihat tidak mendominasi atau mencampuri tugas beliau sebagai pemimpin negara menyebabkan beliau dilihat sebagai pemimpin yang sangat berwibawa.

"Sebagai contoh, peranan isteri Muhyiddin iaitu Puan Sri Noorainee Abdul Rahman lebih fokus kepada hal-hal keluarganya sahaja amat penting dalam kerjaya Muhyiddin sebagai pemimpin negara," katanya. - Bernama