Polis rampas dadah bernilai RM1.72 juta

Iklan
Roslee (tengah) menunjukkan pistol tiruan antara yang dirampas bersama pelbagai jenis dadah.

KUALA TERENGGANU - Taktik sekumpulan pengedar dadah yang berselindung di sebalik rumah keluarga dan kawasan kampung bagi mengaburi mata pihak berkuasa terbongkar selepas polis menahan empat individu dalam dua serbuan berasingan di Kemasik, Kemaman kelmarin.

Empat individu berusia antara 20 hingga 40 tahun termasuk seorang suri rumah itu ditahan antara jam 5.30 pagi hingga 1.45 tengah hari.

Iklan
Iklan

Serbuan itu turut berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM1.72 juta, sepucuk pistol tiruan, sebuah kereta jenis Honda Civic dan wang tunai RM63,318 dipercayai hasil jualan dadah.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, serbuan pertama di sebuah rumah di Kemasik, Kemaman berjaya menahan tiga lelaki termasuk seorang daripadanya yang baharu dibebaskan daripada kesalahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

Iklan

Menurutnya, salah seorang suspek berusia 38 tahun yang baharu keluar dari LLPK itu turut bertindak mengacukan pistol ke arah anggota sebelum membalingnya.

"Hasil pemeriksaan menemui pelbagai jenis dadah iaitu 40 botol heroin yang dianggarkan seberat 220 gram, syabu yang dianggarkan seberat 1,300 gram dan 42,200 pil kuda.

Iklan

"Rampasan dadah dianggarkan bernilai RM1,058,200 dan kita turut menyita wang tunai RM63,318 dan sebuah kereta Honda Civic berharga RM50,000 serta sepucuk pistol tiruan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini

Katanya, serbuan seterusnya dilakukan di sebuah rumah yang terletak kira-kira 30 meter dari lokasi pertama sebelum berjaya menahan seorang wanita berusia 31 tahun.

"Hasil pemeriksaan, kita berjaya merampas dadah jenis heroin yang dianggarkan seberat 3,710 gram, satu plastik syabu seberat 15.44 gram dan 1,400 biji pil kuda yang bernilai RM252, 916.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini aktif di Kemaman sejak enam bulan lalu dengan menyasarkan pasaran di Terengganu dan Pahang," katanya.

Roslee berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan tangkapan ini mempunyai kaitan dengan rampasan 50,000 pil kuda dalam serbuan ke atas sebuah lori mengangkut buah berhampiran rumah Tol Telemong di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2), Hulu Terengganu pada 25 April lalu.

"Hasil siasatan dua kes ini dipercayai ada kaitan, namun kita sedang melakukan siasatan terperinci mengenainya.

"Ini adalah rampasan terbesar dan sekiranya terlepas di pasaran, bekalan dadah ini untuk 300,000 penggunaan," katanya.

Katanya, semua suspek yang positif dadah jenis methamphetamine direman tujuh hari untuk siasatan kes di bawah Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.