Siri perkenal dasar kerajaan akan diteruskan

Iklan
Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Bernama
LANGKAWI - Beberapa lagi siri perjumpaan akan diadakan untuk memperkenalkan dasar kerajaan baharu dan peranan yang perlu dimainkan oleh jentera kerajaan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini.

Katanya perjumpaan beliau bersama pegawai-pegawai tinggi kerajaan di sini malam ini merupakan inisiatif kedua dilaksanakan semenjak Pakatan Harapan mengambilalih pemerintahan negara.

"Sebenarnya mereka sudahpun membaiki jentera pentadbiran kita tetapi hari ini mereka menyatakannya (kepada saya) secara bertulis (dengan mengemukakan memorandum) agar semua pihak tahu matlamat kerajaan,” katanya dalam sidang media selepas perjumpaan itu yang dihadiri seramai 207 orang pegawai tinggi kerajaan.

Menurutnya selain perjumpaan malam ini, beliau turut mempengerusikan mesyuarat Khazanah Nasional yang melibatkan perbincangan tentang dasar-dasar dan pendekatan kerajaan melibatkan syarikat milik kerajaan berkenaan.

Menurutnya dasar-dasar berkenaan akan turut melibatkan syarikat-syarikat yang di bawah kepentingan Khazanah Nasional, termasuk Malaysia Airlines Berhad.

Menyentuh keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Dr Mahathir berkata keputusan itu memang dibuat awal dan tiada kaitan dengan perkembangan politik semasa negara, khususnya yang berkaitan dengan Pilihan Raya Kecil Rantau.

"Daripada awal lagi saya menyatakan negara kita punya penduduk berbilang bangsa dan agama dan perkara-perkara itu (tentang ICERD) adalah rumit untuk diratifikasikan,” katanya.

Menurutnya rakyat Malaysia dengan jelas menunjukkan mereka tidak akan dapat menerima ratifikasi ICERD ini berikutan komposisi kaum yang wujud dalam negara.

"Bukan sebab politik, tetapi kita (enggan meratifikasikan ICERD kerana) patuh kepada kehendak rakyat,” katanya. - Bernama