Pengusaha bot rayu pertimbangan bawa masuk pekerja asing

Iklan
Abdul Khadzib (dua, kanan) menyerahkan memorandudaripada persatuan kepada Azman untuk dipanjangkan kepada pihak bertanggungjawab.

KUALA KEDAH - Seramai 141 pengusaha bot ikan laut dalam di negeri ini merayu kerajaan mempertimbangkan cadangan mereka membawa masuk pekerja asing untuk bekerja di sektor perikanan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pemilik Bot Ikan Negeri Kedah, Abdul Khadzib Bakar berkata, pekerja asing berkenaan yang kebanyakannya dari negara Thailand bekerja sebagai tekong dan kru bot di sini.

Iklan
Iklan

Katanya, sejak penularan pandemik koronavirus (Covid-19) serta penutupan sempadan, pekerja yang pulang ke negara asal tidak dapat balik semula ke sini untuk bekerja.

"Keadaan ini menjejaskan pendapatan kami kerana bot tidak dapat beroperasi, pekerja tempatan pula tidak ada yang sanggup untuk bekerja di bot ikan laut dalam," katanya ketika ditemui selepas penyerahan memorandum kepada Exco Pertanian dan Industri Makanan negeri Kedah, Azman Nasrudin di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, apabila bot tersadai dalam tempoh yang lama mereka juga terpaksa menanggung risiko bot rosak selain peralatan bot dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Lebih membimbangkan apabila tiba musim ribut dan laut bergelora, sumber perikanan ketika itu bergantung kepada bot laut dalam sahaja.

Iklan

"Jika kami juga tidak dapat beroperasi, mungkin berlaku kekurangan bekalan ikan ketika itu,"katanya yang menjelaskan setiap bot memerlukan sekurang-kurangnya empat orang kru.

Sementara itu, Azman berkata, pihaknya sebelum ini telah memanjangkan isu berkenaan kepada Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Mereka meminta supaya pengusaha bot ini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan iaitu memohon kemasukan pekerja asing melalui Imigresen.

"Tidak dinafikan kemasukan pekerja asing ketika ini agak ketat, bagaimanapun kita harap kerajaan pusat memberi sedikit kelonggaran kepada sektor-sektor tertentu yang bergantung kepada pekerja asing untuk beroperasi," katanya.