PDRM tumpu lorong tikus, PATI: Ismail Sabri

Iklan
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media harian di Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menarik balik semua sekatan jalan raya kecuali di kawasan lorong tikus bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini, Op Benteng diteruskan bagi memastikan cubaan menceroboh masuk oleh PATI ke negara ini dapat dipatahkan.

Iklan
Iklan

"Bermula hari ini, tiada lagi sekatan jalan raya. Bagaimanapun, Op Benteng tetap akan diteruskan," katanya pada sidang akhbar harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini.

Ismail Sabri berkata, meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sudah berakhir, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus membantu PDRM dalam membuat pemantauan sepanjang tempoh PKPP dilaksanakan.

Iklan

"ATM akan terus membantu PDRM ketika ini kerana mereka turut terlibat dalam pasukan petugas operasi pematuhan. Fokus tugasan mereka sekarang kepada pematuhan SOP seperti di pasar awam dan pasar malam," katanya.

PKPB yang berakhir semalam menyaksikan PDRM menahan 26 individu selain mengeluarkan 57 kompaun atas pelbagai kesalahan kerana ingkar PKPB.

Iklan

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PDRM menjangka bilangan kenderaan di lebuh raya utama akan meningkat pada Jumaat hingga Ahad ini berikutan orang ramai akan mengambil peluang pulang ke kampung halaman.

Justeru, Ismail Sabri menasihati orang ramai yang pulang ke kampung supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya.

"Aliran trafik di lebuh raya dan jalan utama seluruh Malaysia masih lancar setakat hari ini.

"Bagaimanapun, peningkatan dijangkakan pada Jumaat hingga Ahad ini. Orang ramai diminta berhati-hati bagi mengelak kemalangan," katanya.

Beliau berkata, PDRM akan terus memantau tahap pematuhan SOP di kawasan tumpuan orang ramai termasuk di R&R dalam tempoh PKPP. - Bernama