MOTAC lancar Pelan pemulihan pelancongan, kebudayaan: Nancy Shukri

Iklan
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri melancarkan kempen Penyemarakan Semula Pelancongan Domestik, hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) hari ini melancarkan kempen Penyemarakan Semula Pelancongan Domestik sebagai langkah pemulihan sektor itu yang terjejas susulan penularan koronavirus (Covid-19).

Menterinya, Nancy Shukri berkata, menerusi kempen itu beberapa langkah merangkumi Pelan Pemulihan Pelancongan dan Pelan Pemulihan Kebudayaan diperkenal untuk merancakkan semula sektor berkenaan khususnya pelancongan domestik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) telah dibatalkan sebelum ini namun usaha-usaha mempromosikan negara sebagai destinasi pelancongan yang selamat akan diteruskan.

"Sebagai permulaan, kita mahu ia (pelan pemulihan) dibuktikan menerusi pelancongan domestik, kita sendiri harus memainkan peranan menyemarakkan semula industri pelancongan negara, sekaligus meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan selamat untuk dikunjungi pada masa hadapan,” katanya pada sidang akhbar di kementeriannya di sini.

Iklan

Pada Ahad, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini, antara lain menyaksikan aktiviti pelancongan domestik dibuka semula.

Dalam pada itu, Nancy berkata MOTAC telah mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) terperinci dan khusus kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi lapan subsektor untuk tujuan pembukaan pelancongan domestik.

Iklan

Lapan subsektor itu adalah pameran hasil seni, budaya dan warisan di premis dan fasiliti awam kebudayaan; premis penginapan hotel; syarikat pengendali pelancongan, pemanduan pemandu pelancong; operasi institut latihan pelancongan; program pengalaman homestay; aktiviti pelancongan pengembaraan dan aktiviti lasak serta aktiviti selam skuba dan snorkeling.

Bagi merancakkan semula industri pelancongan dan kebudayaan negara, Nancy berkata strategi-strategi awal pelan pemulihan pelancongan dan kebudayaan telah dikenal pasti, antaranya, mengutamakan platform digital seperti media sosial, laman blog, laman sesawang, e-pasaran dan sebagainya.

Di samping itu, bagi memastikan industri pelancongan terus berdaya saing, Nancy menjelaskan MOTAC telah melaksanakan beberapa inisiatif dalam membantu meringankan beban penggiat industri pelancongan menangani impak wabak pandemik Covid-19.

Antaranya pelaksanaan kursus ‘Domestic Tourism Vibes’ secara dalam talian mulai Mei hingga Disember ini kepada kumpulan pemandu pelancong berlesen yang akan tamat tempoh dalam tahun ini.

Selain itu, pengecualian kompaun kepada pengusaha pelancong dan pemandu pelancong yang gagal memperbaharui lesen dalam tempoh ditetapkan disebabkan tempoh PKP.

Mengenai pelan pemulihan sektor kebudayaan, ujar beliau, beberapa inisiatif diperkenalkan dalam talian sepanjang tempoh empat PKP dan PKPB iaitu program pembangunan dan pengembangan seni budaya serta program pemasaran dan promosi.

Nancy turut berkongsi tinjauan dilakukan oleh Tourism Malaysia yang mendapati persepsi rakyat mengenai pelancongan domestik selepas PKP ke atas 13,797 individu di negara ini mendapati 50.9 peratus responden mempercayai bahawa melancong dalam negara lebih selamat selepas PKP.

Manakala 84.2 peratus percaya Covid-19 mempengaruhi sikap mereka untuk mengembara dan 71.3 peratus memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan berbanding ke luar negara.

Malah jelasnya, tinjauan itu juga mendapati bahawa 30.7 peratus individu dalam kajian ingin bercuti antara enam bulan sehingga setahun diikuti 22.8 peratus (dua hingga enam bulan) dan 22.6 peratus kurang dari dua minggu. - Bernama