Kejutan mesin pengadun buat tersayang

Iklan
Wan Nuraiman terkejut dan teruja menerima hadiah mesin pengadun dari suaminya sempena hari lahir ke-27.

CHERAS - Saya beli mesin pengadun untuk beri dorongan kepada isteri supaya dia yakin bahawa perniagaan pencuci mulutnya boleh berjaya, demikian kata Muhammad Aslam Zakaria, 27, dari Cheras, yang tular di media sosial selepas dia menghadiahkan mesin pengadun sempena sambutan hari lahir isterinya, Wan Nuraiman Iwanina Mohd Nawi, 27, kelmarin.

Kata Muhammad Aslam, dia sudah lama menyimpan niat mahu menggantikan mesin pengadun lama yang digunakan isteri kepada model lebih baik selepas memikirkan isterinya sangat gemar membuat sajian manisan dan perniagaan @hixtaste diusahakan bermula 2018 dalam talian kini semakin maju.

Iklan
Iklan
Mesin pengadun lama yang digunakan Wan Nuraiman. (Kanan: Mesin pengadun baharu hadiah buat Wan Nuraiman. )

"Jadi saya hadiahkan mesin itu dan mahu menjadi orang pertama yang sokong perniagaannya," katanya kepada Sinar Harian.

Bercerita lanjut, bapa kepada anak kembar berusia setahun ini turut memberi keizinan kepada isterinya berhenti bekerja dan memberi fokus kepada perniagaan tersebut.

Iklan

"Saya faham isteri sayang sangat dengan kerjayanya sebagai eksekutif akaun tetapi mungkin ini jalan terbaik untuknya bersama anak-anak selain meneruskan perniagaan sepenuh masa di rumah.

Muhammad Aslam membuat kejutan kepada isterinya dengan menghadiahkan mesin pengadun bagi memberi sokongan kepada perniagaan isterinya melalui dalam talian.

"Saya nak dia tahu walau apa pun jadi, dia masih ada penyokong di belakangnya," katanya.

Iklan

Memasuki usia dua tahun perkahwinan, Muhammad Aslam berharap perhubungan mereka yang berlandaskan cinta akan kekal sehingga akhir hayat.

Jelasnya, masih banyak perkara yang perlu belajar tentang ilmu rumah tangga, namun pesanan orang tua supaya pasangan perlu sentiasa bertolak ansur sering diingatinya.

"Lebih-lebih lagi apabila dah ada anak, tak boleh pentingkan diri. Ada benda yang kena korbankan, kita kena sedia berkorban," ujarnya mendoakan agar perniagaan isteri maju jaya dan diberkati sumber rezekinya.

Muhammad Aslam bersama Wan Nuraiman dan anak kembar lelaki berusia setahun.

Terdahulu, video berdurasi lima minit yang tular memaparkan Wan Nuraiman dibawa ke sebuah kedai makan untuk meraikan hari lahir dan setibanya di rumah, dia terkejut melihat sebuah kotak misteri iaitu mesin pengadun baharu dihadiahkan oleh suaminya.

Video tersebut menjadi tular di laman sosial dan ditonton hampir 2,000 tontonan.