PUTRAJAYA - Lawatan dan pemantauan mengejut akan dilakukan ke sekolah terlibat dalam tempoh persediaan pembukaan sesi persekolahan sebelum 24 Jun ini.
Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pemantauan mengejut akan dilaksanakan pegawai jabatan pelajaran negeri, pejabat pendidikan daerah bahkan di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sendiri.
Iklan
Iklan
Menurutnya, ia bagi melihat persediaan dilakukan di sekolah dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Kita nak lihat bagaimana pihak sekolah boleh patuhi SOP ditetapkan. KPM akan turun ke sekolah secara mengejut untuk lihat secara alami bagaimana kesediaan sekolah-sekolah ini.
"Kita ada tempoh dua minggu untuk bantu mereka tambah baik sekiranya persediaan yang dibuat tidak memenuhi SOP ditetapkan," katanya dalam Sidang Akhbar Khas KPM di sini hari ini.
Dalam masa sama beliau berkata, jumlah pelajar yang dibenarkan dalam setiap kelas bergantung kepada saiz ruang kelas atau dewan yang digunakan.
"Secara asasnya, mesti ada penjarakkan sosial. Asalkan kedudukan meja pelajar mematuhi SOP iaitu dijarakkan satu meter," katanya.