Ibu bapa disaran sedia bekal makanan anak ke sekolah

Iklan
Dr Radzi (tengah) memberi penerangan berkenaan pembelian makanan pelajar mengikut garis panduan ketika melakukan lawatan kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engku Husain, Kajang, baru-baru ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyarankan ibu bapa atau penjaga menyediakan bekal makanan dari rumah untuk anak-anak mereka ke sekolah bermula 24 Jun ini.

Menterinya, Dr Radzi Jidin berkata, usaha itu secara tidak langsung dapat mengelakkan pelajar bersesak-sesak di kantin.

Iklan
Iklan

"Waktu rehat akan dilaksanakan secara berperingkat dan hanya makanan serta minuman yang siap dibungkus sahaja dijual.

"Murid perlu beratur mengikut tanda penjarakan semasa membeli makanan di kantin dan mereka akan makan di dalam kelas masing-masing di bawah pengawasan guru,” katanya pada Sidang Akhbar KPM di sini hari ini.

Iklan

Dalam pada itu, Radzi berkata, KPM turut mohon jasa baik ibu bapa atau penjaga supaya sentiasa berpesan kepada anak-anak mereka agar mengamalkan penjarakan sosial dan menjaga kebersihan diri pada setiap masa.

Selain itu katanya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga digalakkan untuk berganding bahu bersama pihak sekolah dalam membuat persiapan sebelum sekolah dibuka dan juga semasa sekolah beroperasi.

Iklan

"Aktiviti di luar bilik darjah seperti sukan dan kokurikulum secara bersemuka tidak dilaksanakan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan, begitu juga dengan perhimpunan sekolah.

"Bagi pelajar yang berada di asrama, katil-katil akan disusun pada jarak satu satu meter dan bilangan katil bagi setiap bilik adalah bergantung kepada keluasan bilik,” katanya.

Mengulas lanjut, Radzi turut memaklumkan bahawa penggiliran waktu makan juga akan dilaksanakan mengikut bilangan murid di asrama.

"Susunan meja di dewan makan juga akan ambil kira berdasarkan keperluan penjarakan sosial dan KPM akan menambah baik garis panduan yang disediakan dari masa ke masa berdasarkan nasihat KKM mengikut keperluan dan kesesuaian," katanya.