VIENNA - Malaysia akan mencadangkan dua inisiatif penting dalam usaha memerangi rasuah pada peringkat antarabangsa di persidangan Pertubuhan Pihak Berkuasa Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA) yang akan bermula 22 hingga 24 Jan di sini.
Naib Presiden IAACA, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, dua inisiatif berkenaan bakal disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada ucaptama persidangan berkenaan Selasa ini.
Sidang itu membincangkan penubuhan dana untuk bantuan kakitangan penguatkuasa anti-rasuah dan peranan lebih besar IAACA di peringkat global seperti Pertubuhan Kastam Antarabangsa (WCO) dan Interpol.
"Sudah sampai masanya IAACA berperanan lebih aktif seperti Interpol dan WCO dengan memerangi rasuah di peringkat antarabangsa.
"Dan sudah sampai masanya (anggota penguatkuasa) ini mendapat pembelaan IAACA di peringkat antarabangsa dengan dana yang diberi nama Dana Pejuang Anti Rasuah (Anti-Corruption Champion Fund,” kata Abu Kassim kepada pemberita Malaysia di sini Ahad.
Beliau berkata antara tujuan penubuhan dana berkenaan ialah bagi membela penguatkuasa yang dianiayai atau dibalas dendam dalam tindakan mereka melaksanakan perkara yang betul dalam tugas.
Antara penganiayaan yang dihadapi penguatkuasa ialah dibunuh, peguam negara dipecat, pegawai disimbah asid dan diberhentikan kerja, katanya.
Perdana Menteri yang dijadualkan tiba petang ini adalah dalam lawatan kerja selama tiga hari ke Vienna bagi menghadiri persidangan berkenaan selain bertemu pemimpin negara Austria, sesi dialog bersama rakyat Malaysia dan komuniti perniagaan negara ini.
Abu Kassim berkata, kedua-dua inisiatif berkenaan akan dibincangkan dengan lebih mendalam pada persidangan IAACA itu yang turut mengadakan mesyuarat agung tahunannya yang ke-10 dan juga mesyuarat jawatankuasa eksekutifnya pada 21 Januari.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Pusat Governans dan Anti Rasuah Nasional Malaysia (GIACC) berkata, setakat ini cadangan pada prinsip asas dan IAACA perlu mengambil kira sensitiviti supaya tidak mengatasi undang-undang negara yang terbabit dalam usaha merealisasikan dana berkenaan.
Katanya, ini termasuk memastikan penguatkuasa itu betul-betul dianiayai ataupun mereka sendiri mempunyai masalah etika dan disiplin dalam tugas.
"Antara cadangan bantuan ialah mereka yang dibuang kerja mungkin boleh menjadi tenaga pengajar di institusi anti rasuah yang dikenalpasti," katanya.
IAACA adalah sebuah organisasi bukan kerajaan yang ditubuhkan bertujuan mempromosi pelaksanaan Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Memerangi Rasuah secara efektif dan untuk membantu pihak berkuasa anti rasuah dalam usaha global membanteras rasuah.
Pada Mei 2016, Peguam Negara Qatar, Dr Ali Fetais Al Marri menjadi presiden IAACA.
Mengulas kehadiran Dr Mahathir pada persidangan IAACA itu, Abu Kassim berkata ucaptama yang bakal disampaikan perdana menteri akan memberikan pandangan baharu terhadap Malaysia yang beralih begitu baik daripada kerajaan lama sebelum ini yang diperintah oleh satu parti.
"Rakyat merubah negara daripada situasi yang merisaukan kepada Malaysia Baharu dan saya anggapkan (ini) Malaysia Bersih," katanya.
Abu Kassim berkata, banyak usaha yang dibuat oleh Dr Mahathir sejak menjadi Perdana Menteri ke-7 telah dapat perhatian antarabangsa dan mereka menawarkan diri membantu Malaysia termasuk dalam isu rasuah.
"Saya dikunjungi pelbagai agensi di peringkat antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang menawar diri membantu Malaysia.
"Kehadiran Tun (Dr Mahathir) adalah sumber inspirasi bagaimana mereka dapat mengatasi masalah rasuah dan memulakan (usaha itu) dengan sempurna, tak ada pergaduhan dan kekecohan," katanya. - Bernama