HIGHTOWN, Britain - Seekor lembu terpaksa diselamatkan selepas haiwan itu tersepit pada celah dua batang pokok di Hightown Hill di sini pada Sabtu lalu.
Portal berita The News pada 8 Jun lalu melaporkan, pasukan bomba dan penyelamat berdepan situasi yang ganjil apabila ia dihubungi untuk menyelamatkan haiwan tersebut.
Iklan
Iklan
Bagaimanapun portal berita Advetiser Times melaporkan pada 9 Jun lalu, lembu British berwarna putih yang berusia 13 tahun itu akhirnya berjaya diselamatkan.
Pasukan penyelamat yang berpangkalan di Fareham kemudian mententeramkan lembu tersebut.
Pemilik haiwan tersebut yang merupakan seorang petani bertindak memotong salah satu batang pokok itu dengan sebilah kapak untuk melepaskannya dalam tempoh 10 minit.
Haiwan itu kemudian dilepaskan daripada pokok itu dan diberikan makanan serta minuman sebelum dihantar ke ladang milik petani tersebut dengan menaiki sebuah treler.
Setakat ini masih belum diketahui punca yang menyebabkan lembu itu boleh tersepit di celah dua batang pokok. - Agensi