SHAH ALAM - UMNO tidak perlu memikirkan jumlah sokongan diterima Pakatan Harapan (PH) yang sedang kemaruk kuasa sebaliknya menumpukan agenda membantu kerajaan Perikatan Nasional dalam memulihkan semula ekonomi negara.
Ketua Penerangannya, Shahril Sufian Hamdan berkata, ‘permainan angka’ yang dimainkan oleh pemimpin PH itu tidak lebih hanya sebagai perang psikologi pakatan pembangkang yang dilihat bimbang akan prestasi kerajaan sekarang yang semakin baik.
"Hanya 107 ahli Parlimen? Mula-mula dia (Anwar) sebut 129 (ahli Parlimen menyokong PH) kemudian sekarang sudah jadi 107. Kena tanya dia angka apa yang dia ada (lagi) dan bagi saya, fokus UMNO sekarang ialah membantu dalam pemulihan ekonomi.
"(Fokus) dalam memastikan program-program pemulihan tersebut turun ke bawah untuk rakyat akar umbi dan itu yang kita fikirkan. Kita tak fikir 107 atau 129. Itu belah PH yang kemaruk kuasa seperti yang saya sebut tadi.
"Itu bukan menjadi kerisauan kepada kita kerana kita yakin sebenarnya kalau ada angka tersebut benda ini (pertukaran kerajaan) dah berlaku dan ini hanya 'psiwar' daripada pihak PH yang risau akan prestasi yang baik kerajaan sekarang,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub sempena kunjungannya ke Sinar Harian di sini semalam.
Shahril mengulas pendedahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyentuh berkaitan mesyuarat PH, Parti Warisan Sabah dan kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad di Petaling Jaya kelmarin semasa sesi siaran langsung di Facebook semalam.
Dalam mesyuarat PH yang diadakan di ibu pejabat PKR kelmarin, ia turut dihadiri oleh pemimpin tertinggi Warisan iaitu Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Nasional (Amanah), Mohamad Sabu.
Mesyuarat itu dikatakan bagi membincangkan antara lain, calon Perdana Menteri untuk merampas kembali kerajaan Pusat daripada kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Muhyiddin.