WRP sahkan premis diserbu SPRM

Iklan
SPRM

KUALA LUMPUR- Syarikat pengeluar sarung tangan dan getah, WRP Asia Pacific Sdn Bhd (WRP) mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu premisnya, bagi siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana oleh seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya itu disingkirkan November lalu selepas dakwaan berlaku penyelewengan oleh lembaga pengarah syarikat berkenaan.

Iklan
Iklan

Selain mendakwa bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya enggan memberi kerjasama kepada lembaga pengarah dan didakwa mahu menutup syarikat itu, lembaga pengarah mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana pecah amanah membabitkan RM8.4 juta.

Firma Guaman Thomas Philip yang mewakili syarikat itu dalam satu kenyataan semalam berkata, serbuan itu bukan sesuatu yang dikehendaki mana-mana syarikat namun ia sebagai satu lagi langkah ke depan untuk memastikan pengurusan lama bertanggungjawab terhadap tindakan mereka.

Iklan

"Ia memberi kami harapan baru yang mereka (didakwa) membahayakan kewangan serta kredibiliti syarikat untuk kepentingan diri akan dipertanggungjawabkan atas ketidakstabilan yang mereka timbulkan.

"Lembaga pengarah yang baharu bersedia untuk bekerjasama dan membantu sebarang siasatan yang sedang dijalankan.” katanya lagi.

Iklan

Lembaga pengarah WRP yang baharu mengambil alih syarikat itu Januari lalu, berkata ia menemui"isu cukup besar” dengan bantuan pengaudit forensik.

Selain penggunaan dana syarikat, mereka turut mendakwa wujud percanggahan berhubung pematuhan peraturan dalam pengambilan pekerja.

WRP menjadi tumpuan media pada Januari tahun lalu, apabila hampir 2,000 pekerja Nepal mengadakan mogok tiga hari selepas mendakwa mereka tidak dibayar gaji selama tiga bulan.

Siasatan Jabatan Tenaga Kerja mendapati syarikat itu bersalah kerana menahan gaji pekerja, tidak membayar gaji lebih masa, memotong gaji secara tidak adil dan waktu kerja salah pada waktu rehat serta cuti umum.

September lalu, pengeksportan WRP ke Amerika Syarikat disekat Kastam dan Perlindungan Sempadan negara itu selepas dakwaan sarung tangannya dihasilkan buruh paksa.

Susulan itu, Januari lalu bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dilantik sebagai Penasihat Keselamatan dan Pengawalseliaan WRP Asia Pacific Sdn Bhd (WRP), syarikat pengeluar sarung tangan getah.

WRP memaklumkan, Musa dan pasukannya yang berpengalaman akan membantu Ahli Lembaga Pengarah menilai syarikat, sekutu dan anak syarikatnya dalam semua hal berkaitan peraturan dan keselamatan.

Katanya, perkembangan baharu itu membolehkan lembaga pengarah memperoleh satu lagi pencapaian penting untuk memastikan pemulihan yang cepat dan berkesan untuk syarikat berkenaan.

Antara isu dikemukakan ialah pencegahan pengawal seliaan dalam penggajian pekerja serta penyelewengan dana WRP.

Dengan lantikan itu, ia dijangka memerlukan langkah penyelidikan dan pemulihan yang lebih mendalam bagi menjamin keberkesanan tindakan mereka.

Pada Oktober 2019, Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) telah mengeluarkan perintah sekatan pengeluaran (WRO) yang melarang sebuah syarikat negara ini daripada mengeksport sarung tangan getah pakai buang ke AS kerana mendakwa syarikat itu menggunakan buruh paksa.