KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kecewa apabila terdapat segelintir pihak terus mengaitkan pasukan itu, dengan isu tunggakan gaji pemain bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Setiausaha Kehormat pasukan PDRM, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya menafikan perkara itu, sambil menegaskan PDRM berjaya melunaskan tunggakan gaji pemain berjumlah RM1.3 juta secara berperingkat, pada April lepas.
Menurutnya, status sebagai pasukan tidak memiliki dana yang besar, tidak boleh dijadikan ukuran untuk menilai tahap profesional sesebuah pasukan.
"Kami amat sedih sebab masih dibangkitkan soal gaji pemain PDRM di media sosial, memang pada awal musim kami menghadapi masalah gaji, sehingga dipotong tiga mata tetapi kami sudah berunding dengan pemain, dan bayaran dibuat secara berperingkat iaitu 50, 30 dan 20 peratus. Sehingga April, isu gaji sudah selesai.
"Saya hendak tegaskan kepada pihak di luar sana, jangan ungkit pasal hutang gaji pemain PDRM. Walaupun kami ‘miskin’, kami berjaya selesaikan hutang gaji semua pemain berjumlah RM1.3 juta, dengan kaedah tiga kali pembayaran,” katanya pada sidang media di pejabat Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Pada masa sama Zulkefly berkata, PDRM tidak menghadapi masalah pembayaran gaji pada Mei lepas.
Sebuah portal bola sepak tempatan didakwa melapor dan mengaitkan PDRM masih terpalit isu tunggakan gaji pemain.
Sementara itu, Zulkefly mengumumkan PDRM akan menutup sementara pasukan Piala Presiden dan Piala Belia mereka, selepas pengumuman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.
FAM mengumumkan pembatalan tiga pertandingan di bawah kelolaannya, iaitu Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) musim 2020 susulan wabak koronavirus (Covid-19) selepas semua aktiviti dan pertandingan bola sepak dan futsal ditangguhkan sejak 16 Mac lepas.
Zulkefly berkata, PDRM akan membayar 'pampasan' minimum sebanyak 25 peratus daripada baki kontrak pemain serta pegawai pasukan Piala Presiden dan Piala Belia mengikut garis panduan ditetapkan FAM. - Bernama