KRU-KRU penerbangan memakai sut perlindungan, penumpang diberikan sijil kesihatan selain wajib memakai pelitup muka manakala waktu pemeriksaan keselamatan pula lebih panjang.
Itu semua adalah realiti terbaru penerbangan udara melibatkan jumlah yang ramai.
Ketika ramai orang mempunyai hasrat menaiki penerbangan sekali lagi, mereka berhadapan dengan prospek perubahan itu dengan tujuan untuk menghalang penularan pandemik Covid-19.
Penularan pandemik itu menjadi lebih mencabar selepas serangan pengganas pada tahun 2001 di Amerika Syarikat (AS).
"Ia (normal baru) menjadi lebih memenatkan dan kos yang mahal. Saya berpendapat orang ramai akan berfikir dua kali sebelum mengembara (menaiki penerbangan)," kata seorang lelaki yang berusia 40 tahun.
Dia terpaksa membayar tambang penerbangan dua kali ganda berbanding biasa bagi menaiki penerbangan yang melibatkan tempoh singkat.
Sejumlah tempat duduk pula dibiarkan tidak mempunyai penumpang dengan tujuan untuk penjarakkan sosial.
Ketika industri penerbangan berusaha mencari cara penyelesaian pada masa hadapan, pakar-pakar memberi amaran tentang kesan mendalam pandemik itu.
"9/11 (serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat) mencipta persekitaran baharu untuk semua industri penerbangan terutamanya tentang keselamatan," kata Shukor Yusof dari Endau Analytics.
"Ketika kesan akibat serangan pengganas pada tahun 2001 mungkin boleh menjadi petunjuk tentang apa yang bakal berlaku, Covid-19 merupakan cabaran lebih serius," tambahnya.
Agensi penerbangan awam PBB telah mengeluarkan garis panduan untuk keselamatan penerbangan ketika pandemik itu merebak ke seluruh dunia.
Garis panduan itu adalah bermula daripada pemakaian wajib pelitup muka sehingga kepada disinfeksi di kawasan dikunjungi oleh orang ramai dan yang mengadakan komunikasi.
Tambahan pula, sebuah badan penerbangan, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) telah mencadangkan kepada kerajaan supaya mengumpulkan data penumpang termasuk maklumat kesihatan sebelum penerbangan bermula.
Ini adalah bertujuan menjadikan akses ke lapangan terbang terhad hanya kepada staf dan penumpang sahaja.
Beberapa langkah lain turut digariskan dalam garis panduan badan tersebut.
Ia termasuklah mereka bentuk semula kawasan pintu bagi mengurangkan kesesakan, mempercepatkan dan memperlicinkan urusan perlepasan serta pengambilan beg.
Langkah lain itu juga adalah melarang orang ramai beratur untuk pergi ke bilik air bagi mengehadkan interaksi penumpang.
"Krisis Covid-19 merupakan gangguan terbesar dalam sejarah penerbangan. Pemulihan akan menjadi panjang dan perlahan," kata jurucakap wilayah untuk IATA, Albert Tjoeng kepada agensi AFP.
Memperkenalkan peraturan baharu pun sudah pun cukup mencabar dan kelam-kabut.
Ketika sebahagian syarikat penerbangan melaksanakan keperluan pelitup muka dipakai dalam penerbangan, ia terbukti sukar untuk menguatkuasakan peraturan tersebut jika para penumpang enggan memakainya.
Di India, yang menyambung penerbangan domestik pada minggu lalu, sebahagian kru kabin memakai sut perlindungan seperti pelitup muka, penutup muka dan sarung tangan berwarna biru.
Bagaimanapun, menurut laporan media, kru-kru tersebut tidak mempunyai idea sama ada mereka perlu dikuarantinkan selepas penerbangan.
Sementara itu, lapangan terbang Mumbai di India melaksanakan peraturan penjarakkan sosial tetapi peraturan tersebut tidak diikuti oleh penumpang.
Peraturan itu berkecai apabila penumpang yang marah memperlecehkan staf apabila penerbangan mereka dibatalkan pada saat-saat akhir.
Langkah yang paling hangat diperbincangkan dalam industri penerbangan adalah sama ada membiarkan sahaja kerusi penumpang yang kosong.
Japan Airlines dan Delta merupakan antara syarikat penerbangan yang berbuat demikian.
Namun, ketua syarikat penerbangan tambang murah Ryanair, Michael O’Leary berkata, idea itu adalah bodoh dan akan menghalang syarikatnya daripada membuat keuntungan.
Kemunculan Covid-19 yang pertama kali dilaporkan di China pada tahun lalu telah menjangkiti lebih tujuh juta penduduk di seluruh dunia.
Justeru, pandemik itu telah menyebabkan operasi penerbangan udara hampir terhenti dengan keseluruhan pesawat-pesawat tersadai dan pemberhentian pekerjaan secara besar-besaran.
IATA meramalkan syarikat antarabangsa kini sedang membuat kerugian lebih AS$84 bilion (RM357 bilion) tahun ini.
"Kami tidak mengetahui bagaimana trajektori pemulihan ini akan kelihatan," kata Ketua Eksekutif Singapore Airlines, Goh Choon Phong.
Beliau berkata demikian selepas syarikat penerbangan tersebut melaporkan kerugian dalam sejarah 48 tahun penubuhannya.
Namun, terdapat beberapa petunjuk pemulihan ketika ekonomi negara-negara utama melonggarkan perintah berkurung.
Pihak IATA pula menunjukkan pertumbuhan bilangan penerbangan dari April hingga Mei lalu.
Bagaimanapun, industri penerbangan kelihatan menghadapi kesukaran untuk kembali ke peringkat sebelum penularan pandemik Covid-19.
Peraturan-peraturan mengelirukan yang dilaksanakan oleh negara-negara di dunia dalam menangani pandemik Covid-19 menjadikan pengguna sukar untuk merancang percutian atau melawat keluarga.
Sebahagian negara mengekalkan larangan terhadap pengembara dari negara yang teruk dilanda pandemik Covid-19 atau melaksanakan kuarantin ke atas penumpang semasa ketibaan selama 14 hari.
Negara-negara yang telah memantau virus korona kini sedang mewujudkan perjanjian timbal balik dengan tempat-tempat lain yang mempunyai linkungan lekuk Covid-19 yang sama namun ia mempunyai syarat membebankan.
Laluan pantas untuk tujuan perniagaan penting dan perjalanan rasmi antara beberapa bahagian China serta Singapura telah pun dilancarkan.
Bagaimanapun para pengembara memerlukan penajaan dan perlu mengambil ujian virus sebelum mereka berlepas dan tiba di sesebuah negara.
Namun, kebanyakan mereka yang kerap menggunakan penerbangan mungkin memilih untuk tidak melakukannya buat sementara waktu.
Ketua Eksekutif HalalTrip, Fazal Bahatdeen yang berpangkalan di Singapura berkata kepada AFP:"Jika saya perlu menempuh semua kerumitan itu, saya mungkin tidak akan pergi menaiki penerbangan melainkan saya benar-benar perlu melakukannya." - AFP