GEORGETOWN - Seorang wanita nyaris maut apabila keretanya merempuh dinding sebuah pasaraya di Bandar Baru Farlim, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu, wanita itu dikatakan sedang mengundur keretanya selepas membeli belah di pasaraya terbabit namun telah hilang kawalan.
Pegawai Bomba Kanan 2 Balai Bomba Paya Terubong, Safri Ramli berkata, ketika kejadian, wanita berusia lingkungan 30-an itu berseorangan.
Menurutnya, ketika hendak mengundur keretanya, wanita tersebut telah menekan pedal minyak sehingga keretanya merempuh dinding tempat meletak kereta pasaraya berkenaan.
Beliau berkata, ketika sampai di tempat kejadian, didapati kereta Proton Saga BLM yang dipandu mangsa berada dalam keadaan 50 peratus tergantung dari tingkat dua pasaraya berbabit.
"Kejadian berlaku di tingkat dua tempat meletak kereta di sebuah pasaraya. Ketika pasukan penyelamat sampai, kami mendapati separuh dari kereta wanita tersebut berada di luar manakala separuh lagi di tempat meletak kereta. Ia seperti tergantung.
"Bomba menggunakan pacuan empat roda jenis Hilux untuk menarik kereta tersebut. Pemandu dihantar ke hospital kerana trauma tetapi dia dipercayai tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika ditemui tadi.
Difahamkan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.