KUALA LUMPUR - Laporan mengenai keganasan rumah tangga meningkat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), V Sumitra berkata, pertanyaan mengenai keganasan rumah tangga menerusi talian perkhidmatan WAO turut meningkat 3.4 kali ganda pada Mei berbanding ketika awal PKP dilaksanakan.
"Laporan mengenai keganasan rumah tangga kepada WAO meningkat sejak permulaan pandemik Covid-19 dan permulaan PKP. Peningkatan mendadak dalam keganasan rumah tangga ketika tempoh PKP amat merisaukan.
"Apabila pemandiri berada dalam situasi yang meletakkan mereka berada di tempat yang sama dengan pendera, ini mewujudkan keadaan lebih mudah bagi pendera mengawal pergerakan mereka secara fizikal, emosi dan juga sosial,” katanya menerusi satu kenyataan.
Sumitra berkata, pada awalnya WAO melaporkan peningkatan 1.4 kali ganda panggilan dan pertanyaan WhatsApp melalui hotline WAO dari bulan Februari hingga Mac apabila PKP mula dikuatkuasakan.
Menurutnya, berbanding hanya 250 pertanyaan yang diterima pada bulan Februari, WAO menerima 898 pertanyaan pada bulan April dan 848 pertanyaan pada bulan Mei.
"Peningkatan yang dicatatkan adalah 3.6 dan 3.4 kali berbanding pada bulan Februari.
"PKP merupakan satu langkah perlu untuk mengawal jangkitan Covid-19 akan tetapi kerajaan juga perlu menyedari bahawa rumah bukanlah tempat yang selamat bagi kebanyakan wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Menurut Sumitra lagi, kerajaan mengambil beberapa langkah positif dalam memastikan perkhidmatan penting masih boleh didapati oleh pemandiri keganasan rumah tangga.
Ia termasuk melalui pesanan khidmat masyarakat (PSA) oleh Majlis Keselamatan Negara yang memberitahu pemandiri boleh menghubungi hotline Talian Kasih dan hotline WAO yang boleh dihubungkan melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kementerian Kesihatan Malaysia untuk bantuan.
Bagaimanapun, terdapat kekurangan dan ketidakpastian di dalam respon kerajaan ke atas kes keganasan rumah tangga terutama pada bulan pertama PKP dijalankan.
"Ini termasuklah sebilangan pegawai penguat kuasa tidak jelas sama ada mereka perlu atau tidak untuk menyiasat kes keganasan rumah tangga; ketidakjelasan mengenai bagaimana untuk mendapatkan perintah perlindungan interim apabila mahkamah ditutup; kekurangan panduan bagi pemandiri dan perkhidmatan awam yang tersedia.
"Kekurangan rumah perlindungan sementara; bantuan kewangan tidak diberikan kepada pemandiri secara terus, dan kekurangan sumber yang diperuntukkan kepada perkhidmatan keganasan rumah tangga juga antara kekurangan yang dikenalpasti,” katanya.
Jelasnya, meskipun sebahagian kekurangan itu berjaya ditangani setelah beberapa minggu PKP dilaksanakan namun selebihnya masih belum menemui jalan penyelesaian.
Katanya lagi, meski Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir, kesan Covid-19 dan PKP terus wujud.
"Kita mungkin berdepan krisis yang sama pada masa hadapan. Kerajaan harus menambahbaik kesiapsiagaan dan memberi respon kepada kes keganasan rumah tangga serta memastikan perlindungan diberikan kepada pemandiri yang memerlukan.
"Langkah khas seperti memastikan bilangan staf mencukupi untuk hotline Talian Kasih, mandat yang jelas bagi perintah perlindungan keganasan rumah dan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) jelas mengenai operasi berterusan rumah perlindungan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.