Hampir 5,000 OKU penglihatan terjejas

Iklan
Gambar hiasan. Foto: 123RF

SHAH ALAM - Persatuan Voice of The Blind Malaysia menggesa kerajaan untuk mempertimbang kebenaran bagi membolehkan sektor refleksologi beroperasi semula.

Pengerusinya, Muhammad Fairuz Abdullah berkata, perkara ini amat penting ekoran hampir 5,000 warga orang kurang upaya (OKU) kategori masalah penglihatan terlibat dalam sektor berkenaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sejak pelaksanaan awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac lalu, rata-rata OKU terbabit hilang punca pendapatan kerana gaji tukang urut seperti mereka adalah berdasarkan komisen semata-mata dan tidak ada gaji pokok.

"Majoriti daripada mereka hidup menyewa dan dengan harga barangan keperluan asas yang semakin meningkat, mereka ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Iklan

"Selain itu, sewa premis atau tapak perniagaan juga perlu dibayar seperti sedia kala menyebabkan mereka amat terkesan kerana sudah tiga bulan kehilangan pendapatan," katanya.

Muhammad Fairuz berkata, justeru beliau mewakili persatuannya memohon kerajaan untuk menilai semula kebenaran beroperasi bagi sektor refleksologi agar OKU penglihatan ini juga mampu berdaya saing dalam masyarakat dan meneruskan kelangsungan hidup seperti sedia kala.

Iklan

"Kami sebagai OKU penglihatan amat memahami keputusan sukar yang perlu dibuat oleh kerajaan bagi memastikan ekonomi negara pulih seperti sediakala dalam masa yang sama bergiat aktif memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19).

"Namun percaya, dengan garis panduan yang disediakan oleh kerajaan Malaysia, golongan OKU penglihatan ini juga patut diberi peluang untuk beroperasi sama seperti sektor gunting rambut atau salon kecantikan,"katanya.

Terdahulu, pada 7 Jun lalu kerajaan memutuskan untuk melancarkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula semalam bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berakhir kelmarin.

Susulan itu pelbagai kelonggaran diberikan seperti tiada sekatan rentas negeri, selain hampir kesemua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi termasuk sektor gunting rambut, sub sektor gunting rambut seperti rawatan rambut dan cuci rambut, sektor salon kecantikan seperti cuci muka, rawatan muka serta tatarias kuku.

Namun sektor refleksologi dikecualikan untuk beroperasi dalam tempoh PKPP.