KUALA LUMPUR - Semua pengangkutan awam, bas ekspres, pesawat penerbangan, perkhidmatan e-hailing, teksi dan kenderaan persendirian kini dibenarkan beroperasi pada kapasiti penuh dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP hari ini juga memutuskan untuk membenarkan perkhidmatan e-hailing, teksi, dan bas ekspres beroperasi tanpa had masa.
Iklan
Iklan
Ismail Sabri berkata, antara SOP yang ditetapkan ialah semua pemandu dan penumpang perkhidmatan pengangkutan itu memakai pelitup separuh muka dengan suhu badan penumpang diambil terlebih dahulu selain menggunakan cecair pembasmi kuman.
"Pengusaha bas juga perlu menyediakan pelitup separuh muka dan menjualnya kepada mereka yang tidak memilikinya selain mensanitasi bas sebelum dan selepas perjalanan.
"Penggunaan aplikasi MySejahtera untuk memudahkan proses ‘contact tracing’ dan pembayaran tambang mengikut kaedah tanpa tunai adalah digalakkan untuk perkhidmatan e-hailing, teksi serta bas ekspres,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di sini hari ini.
Walaupun dibenarkan beroperasi pada kapasiti penuh, Ismail Sabri mengingatkan pengusaha pengangkutan awam yang membenarkan penumpang berdiri seperti bas awam, feri, kereta api, tren aliran ringan supaya memastikan penumpang mengamalkan kawalan kendiri termasuk melakukan penjarakan sosial.
Selain itu katanya, kenderaan persendirian juga dibenarkan membawa penumpang yang bukan ahli keluarga. - Bernama