KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) digesa mewajibkan penyediaan sabun pencuci tangan (hand wash) di tandas awam dan tandas sekolah.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, kementerian perlu memastikan bahan yang digunakan bukan hanya pencuci biasa sebaliknya spesifik mematikan jangkitan koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, sabun pencuci tangan perlu disenaraikan dalam kemudahan asas yang mesti disediakan selain pemakaian topeng muka.
"Di Malaysia ini kita bukan saja hadapi masalah tandas kotor tetapi tiada sabun pencuci tangan dalam tandas awam. Jika ada pun menggunakan cecair berwarna yang kita tidak tahu keberkesanannya sama ada benar-benar melawan Covid-19.
"Saya bimbang jika aspek kebersihan tidak diberikan perhatian serius pengguna akan terdedah kepada risiko jangkitan," katanya selepas meninjau lokasi hotspot banjir kilat di Kampung Sungai Penchala hari ini.
Hannah berkata, beliau berharap ibu bapa atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat memantau keperluan asas itu selain pemeriksaan berkala dari masa ke masa.
"Dengan keadaan Covid-19 ini, semua sekolah harus ada sabun pencuci tangan. Tak guna jika kita ada penjarajkan sosial, suruh cuci tangan tapi dalam tandas tiada sabun.
"Setiap kali basuh tangan kena dengan sabun, kalau cuci guna air saja tidak mencukupi. Ini pendidikan berterusan yang perlu diberikan kepada masyarakat," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap aspek keselamatan lain termasuk topeng muka diberikan perhatian.
"Saya tidak pasti sekolah akan menyediakan topeng muka atau tidak namun saya berharap bagi anak-anak yang dalam keluarga miskin tidak tercicir dan dibantu mendapatkan kemudahan itu.
"Sekolah tidak boleh tutup selamanya dan kena operasi memandangkan jumlah kes kini sudah sampai satu digit cuma kena biasakan normal baharu termasuk membiasakan diri mencuci tangan," katanya.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan menetapkan 24 Jun ini sebagai tarikh pembukaan sekolah melibatkan pelajar kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa yang setara bagi seluruh negara.