Remaja perempuan ditumbuk, ditendang selepas bertengkar

Iklan
Aksi mangsa ditumbuk dan ditendang empat wanita dikenali di lokasi kejadian yang menjadi tular di laman sosial sejak semalam (Foto: Ihsan pembaca) Gambar kecil: Abdul Rozak

BESUT - Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun cedera di seluruh anggota badan selepas ditumbuk dan ditendang empat wanita dikenalinya, dalam kejadian di Empangan Jajar, di Kampung Gong Duek, Pasir Akar, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 petang itu hanya dilaporkan mangsa malam tadi selepas menyedari rakaman video kejadian berdurasi 45 saat itu tular di laman sosial.

Iklan
Iklan

"Kejadian dilaporkan berlaku semasa mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan melepak di lokasi bersama seorang rakan perempuannya sebelum didatangi lapan wanita iaitu empat daripadanya dikenali menaiki empat buah motosikal. Mangsa mendakwa empat suspek yang dikenalinya itu terus bertindak menumbuk dan menendang di seluruh anggota badannya yang mengakibatkan dia mengalami kecederaan calar di bahagian muka serta sakit di bahagian perut dan dada.

"Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dan pertengkaran mulut antara mangsa dengan salah seorang suspek dikenalinya sebelum ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Iklan

Abdul Rozak berkata, mangsa juga mendakwa rakaman video kejadian yang menjadi tular di laman sosial itu dirakam menggunakan telefon bimbit oleh salah seorang suspek dikenali.

Menurut Abdul Rozak, susulan laporan dibuat di Balai Polis Pasir Akar, di sini, lima daripada lapan suspek berjaya ditahan kira-kira jam 10 malam tadi dan usaha memburu tiga lagi suspek sedang giat dijalankan.

Iklan

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.