SINGAPURA - Singapura melaporkan 422 kes baharu koronavirus (Covid-19) setakat tengah hari ini dengan majoriti yang dijangkiti virus itu adalah warga asing yang menetap di asrama pekerja.
Dengan kes terbaru itu, menjadikan jumlah keseluruhan adalah 39,387 kes.
Data tengah hari ini menunjukkan hanya lima kes dalam komuniti, iaitu satu melibatkan warganegara Singapura dan empat adalah pemegang pas kerja, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam kenyataan di sini.
Menurut kementerian itu, ia masih lagi meneliti butiran kes tersebut dan akan mengemas kini maklumat lanjut kemudian.
Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat Rabu, Singapura mengklasifikasikan 1,758 sebagai kes komuniti, 580 kes yang diimport dan 36,627 kes pekerja asing di asrama.
Secara keseluruhan 26,532 kes jangkitan Covid-19 atau kira-kira 68 peratus daripada jumlah kumulatif semalam iaitu 38,965 telah keluar hospital atau kemudahan isolasi komuniti.
Setakat Rabu, terdapat 223 kes yang disahkan masih berada di hospital dengan tiga pesakit kritikal ditempatkan di unit rawatan rapi.
Sementara itu 12,185 kes yang mempunyai gejala ringan atau secara klinikal sihat tetapi masih diuji positif untuk Covid-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.
Setakat ini, 25 meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan Covid-19 di republik itu.
Tiga kluster baharu yang dikenal pasti semalam melibatkan asrama di 9 Sungei Kadut Street 3; 19A Tech Park Crescent dan 113 Tuas View Walk 1. - Bernama