MELAKA TENGAH - Seorang mekanik didenda RM22,140 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas 27 pertuduhan pelbagai kesalahan trafik.
M Magasvaran, 29, ditahan polis ketika tampil ke balai polis untuk membuat laporan kehilangan MyKad miliknya yang didakwa diragut semalam.
Iklan
Iklan
Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh turut memerintahkan tertuduh dipenjara 281 hari sekiranya gagal menjelaskan bayaran denda tersebut.
Berdasarkan 27 pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Tamil, tertuduh didapati melakukan pelbagai kesalahan berulang termasuk tiada lesen memandu, tidak mempunyai cukai jalan, mengubah suai kenderaan dan lain-lain berkaitan melanggar peraturan jalan raya.
Magasvaran yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda yang rendah dengan memberikan alasan masih bujang dan anak yatim piatu.
Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nazif Ezra Abd Rahman memohon hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh memandangkan tertuduh merupakan pesalah tegar, selain pengajaran kepada masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya mengambil mudah terhadap kesalahan trafik.
Mahkamah kemudian memutuskan denda RM22,140 bagi mengambil kira kesemua 27 pertuduhan selepas mengambil kira setiap tahun tertuduh masih melakukan kesalahan sama. - Bernama