KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan terdapat beberapa anggotanya dipercayai terlibat dalam kegiatan sindiket penyeludupan migran.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, perkara itu dikesan hasil maklumat dan risikan pihaknya di mana terdapat dalam kalangan anggotanya menjadi petualang bagi mendapat habuan wang dengan membantu sindiket terbabit.
"Kita sama sekali tidak akan berkompromi dengan isu ini dan tindakan tegas akan diambil bukan sahaja dalam isu penyeludupan migran tapi di bawah undang-undang jenayah kerana melakukan penyelewengan.
"Siasatan masih dijalankan, bila cukup bukti kita akan ambil pendakwaan. Ini bukan kes tatatertib yang dikenakan tindakan dalaman, tidak... kita akan dakwa ikut undang-undang dan kita anggap sebagai pengkhianat," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Bukit Aman hari ini.
Terdahulu, Abdul Hamid menerima simbolik penyerahan 15,805 naskhah al-Quran untuk warga PDRM di Bukit Aman menerusi program Wakaf al-Quran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang disampaikan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacob.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor dan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya.
Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, pihaknya kini telah menempatkan sekatan jalan raya di beberapa lokasi strategik yang menjadi laluan sindiket penyeludupan migran terbabit di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
"Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berubah menjadi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), tidak bermakna saya tarik semua sekatan jalan raya.
"Sekatan jalan raya ini dilakukan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengekang kegiatan sindiket ini," katanya.
Selain itu, katanya, satu pasukan khas juga ditubuhkan di bawah seliaan ATM membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), PDRM serta ATM untuk menangani isu migran dengan lebih bersepadu.
"Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di bawah Ops Benteng Covid adalah untuk membantu pasukan khas ini.
"Ada maklumat, kita akan tangkap di mana terdapat individu yang terlibat sebagai tekong, ejen, transporter termasuk yang berperanan menempatkan warga asing di rumah kampung atau hotel bajet," katanya.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mendedahkan seramai 371 ejen, tekong darat dan laut, pengangkut serta penyedia rumah penampungan pendatang tanpa izin (PATI) diberkas dalam Fasa 3, Op Covid-19 Benteng, sejak 4 Jun hingga Ahad lalu.