IPOH - Kerajaan Perak akan mewujudkan Jabatan Pembangunan Usahawan yang akan berfungsi sebagai pusat sehenti untuk golongan usahawan di negeri itu.
Exco Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saarani Mohamad berkata, ketika ini kerajaan negeri telah menubuhkan Sekretariat Pembangunan Usahawan Perak yang telah dilancarkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada tahun lalu.
Menurutnya, jabatan tersebut akan menggabungkan lapan agensi termasuk lima agensi persekutuan yang berkaitan usahawan berada di dalam satu organisasi.
"Dalam mesyuarat Exco baru-baru ini, menteri besar minta kita perkasakan pembangunan usahawan ini dan kita sedang ke arah mewujudkan Jabatan Pembangunan Usahawan Perak.
"Agensi yang terlibat bersama di dalamnya ialah Yayasan Perak, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak, Tekun Nasional, Majlis Amanah Rakyat (Mara), SME Corporation, Amanah Ikhtiar Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi. Mereka ini digabungkan melibatkan tiga agensi negeri dan lima agensi pusat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan semua wakil agensi tersebut di Pejabat Sekretariat Pembangunan Usahawan Perak, Bandar Meru Raya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Saarani berkata, peruntukan yang disediakan kepada golongan usahawan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Perak Fasa Kedua (PRE 2) masih berbaki.
Menurutnya, sehubungan itu, Sekretariat Pembangunan Usahawan Perak sedang merancang program turun padang ke daerah-daerah bagi membantu golongan usahawan terjejas akibat penularan koronavirus (Covid-19) pada bulan ini.
Beliau berkata, pihaknya akan melihat dan meneliti keperluan usahawan berkenaan sebelum diserahkan kepada agensi berkaitan untuk menerima bantuan.