PUTRAJAYA - Tiada sekelumit niat dalam hati kerajaan Malaysia untuk menidakkan hak bukan warganegara untuk beribadah bersama-sama di rumah ALLAH SWT.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, buktinya selama ini sebelum adanya wabak koronavirus (Covid-19), bukan warganegara bebas untuk beribadah di mana-mana masjid, surau Jumaat dan surau.
Bagaimanapun tegas beliau, kebenaran pembukaan kemudahan tersebut adalah secara berperingkat bermula 15 Mei lalu.
"Insya-ALLAH, sedikit masa lagi kita akan dapat sama-sama mengimarahkannya.
"Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi menegaskan di dalam kitab Fi Fiqh alAwlawiyyat, dalam melakukan pertimbangan dan perbandingan di antara pelbagai kemaslahatan (al-masalih), maka ketentuan berikut perlu diikuti.
"Pertama, mengutamakan kemaslahatan yang telah diyakinkan terjadinya ke atas kemaslahatan yang belum dapat diyakini berlakunya ia dan kedua, mengutamakan kemaslahatan yang besar ke atas kemaslahatan yang kecil.
"Ketiga, mengutamakan kemaslahatan orang ramai (majoriti) ke atas kemaslahatan seseorang. Oleh itu, pertimbangan terbaik kerajaan buat masa ini adalah pembukaan secara berperingkat dimulakan bagi warganegara,” katanya dalam Sidang Akhbar Khas di sini hari ini.
Ujar beliau, situasi itu sama sekali tidak boleh dijadikan alasan kepada warganegara untuk bersikap kasar, mencemuh dan menyisihkan mereka.
Menurutnya, syariat Islam mengukuhkan lagi prinsip hak kemanusiaan dalam persaudaraan, keadilan dan toleransi sesama manusia.
"Mengurangkan penderitaan, membantu dan menjamin keselamatan kepada golongan yang memerlukan walaupun pihak musuh merupakan sebahagian daripada syariat Islam,” katanya.