SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memutuskan sebarang aktiviti ekonomi, sosial dan rekreasi di negeri ini perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor, Datuk Bandar dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pegawai daerah seluruh negeri ini.
Menurutnya, SOP MKN juga kekal menjadi rujukan teras bagi pelaksanaan dan penguatkuasaan bagi operasi pasar pagi, pasar terbuka, pasar malam dan bazaria yang dibenarkan beroperasi secara berperingkat mulai 15 Jun ini.
"Namun, ia akan disesuaikan dan diselaraskan oleh PBT masing-masing mengikut piawaian yang sesuai dan strategik berdasarkan kondisi kawasan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri bertegas dan tidak akan teragak-agak untuk menutup mana-mana premis atau kawasan yang berisiko sekiranya pematuhan SOP gagal dipatuhi sepenuhnya oleh mana-mana pihak.
"Kerajaan negeri mengingatkan kepentingan untuk mengimbas kod QR dengan sistem SELangkah sebelum memasuki setiap premis, pemakaian pelitup muka dan mengamalkan tatacara kebersihan seperti mencuci tangan dengan kerap," katanya.
Amirudin berkata, kerajaan negeri turut membuat ketetapan membenarkan kelas muzik dan kelas seni beroperasi di Selangor.
"Aktiviti pendakian juga dibenarkan dengan satu-satu kumpulan tidak melebihi tiga orang di samping mematuhi penjarakkan sosial," katanya.
Terdahulu, Kerajaan Selangor akan memuktamadkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi PKPP pada kadar segera.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mendakwa masih belum menerima butiran SOP daripada kerajaan Persekutuan berhubung pembukaan beberapa sektor semasa PKPP.
Ahad lalu, media melaporkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) digantikan dengan PKPP yang menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberi bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos.