KUALA TERENGGANU - Selepas hampir tiga bulan menjalani latihan di kediaman masing-masing, pengurus pasukan Terengganu FC (TFC), Ahmad Shahrizal Yahya mengakui pemain sudah tidak sabar mahu kembali beraksi di padang seperti biasa.
Bagaimanapun, 'kerinduan' tersebut terpaksa dipendam sedikit waktu lagi kerana perlu menunggu arahan rasmi daripada Liga Bola sepak Malaysia (MFL) berkaitan prosedur operasi standard (SOP) lengkap bagi aktiviti latihan yang terhenti akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19) sejak 16 Mac lepas.
Walaupun semua pemainnya sudah cukup bersedia, Ahmad Shahrizal berkata, skuad TFC akur dan sedia menunggu arahan daripada pengendali Liga Malaysia (Liga-M) itu demi keselamatan semua pemain dan mereka yang terlibat.
"Seperti pasukan lain, TFC juga pastinya teruja dan berterima kasih atas pengumuman kerajaan yang membenarkan pasukan bola sepak kembali menjalani latihan seperti sediakala sebagai persediaan sekiranya Liga-M disambung semula.
"Tetapi kita juga kena akur dengan arahan daripada MFL untuk menunggu SOP lengkap, yang saya percaya akan diterima sedikit masa lagi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sementara ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain pula berkata, semua anak buahnya masih meneruskan rutin latihan di kediaman masing-masing sehingga mendapat kebenaran rasmi daripada MFL.
"Semua barisan Skuad Penyu termasuk tonggak import, kecuali Faris Ramli memang berada di Terengganu dan mereka sememangnya bersedia bila-bila masa sahaja untuk latihan di padang.
"Kita harap dapat berlatih di padang dengan segera dan berjanji akan patuh kepada SOP yang ditetapkan MFL," katanya. - Bernama