PUTRAJAYA - Malaysia memutuskan untuk tidak lagi melaksanakan jarakan sosial dalam pesawat setelah mengambil kira standard antarabangsa dan garis panduan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Menurutnya, Malaysia sebelum ini adalah antara negara yang melaksanakan jarakan sosial dalam pesawat semasa pandemik Covid-19, manakala ada negara yang melaksanakannya secara bersyarat dengan jarak tidak sampai satu meter.
Beliau berkata, IATA tidak mewajibkan jarakan sosial, namun secara jelas menggariskan tatacara yang perlu dilaksana termasuk saringan kesihatan, pemakaian pelitup separuh muka serta perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh kru sebelum dan selepas penerbangan.
Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Ka Siong berkata, kementeriannya mengadakan perbincangan"berkali-kali” dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara sebelum mencapai keputusan untuk tidak lagi mengamalkan jarakan sosial dalam pesawat, selaras dengan standard antarabangsa.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan semua pengangkutan awam, bas ekspres, pesawat, perkhidmatan e-hailing, teksi dan kenderaan persendirian kini dibenarkan beroperasi pada kapasiti penuh dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Antara SOP yang perlu dipatuhi ialah memakai pelitup hidung dan mulut, memuat turun aplikasi MySejahtera dan penggunaan cecair pembasmi kuman.
Mengulas lanjut, Ka Siong juga berharap syarikat penerbangan dapat mengurangkan harga tiket yang dilaporkan naik mendadak sebelum ini dengan pembatalan arahan penjarakan sosial dalam pesawat itu.
"Kita (kementerian) tidak boleh campur tangan dalam penjualan tiket tetapi kita minta jasa baik mereka untuk mengurangkan harga tiket," katanya.- Bernama