TANGKAK - Lebih 2,000 ayam mati dalam satu kebakaran di sebuah kawasan penternakan ayam di Jalan Bekoh, Batu 6 di sini hari ini.
Kebakaran pada jam 2.22 petang itu dikesan berlaku di sebuah bilik yang dijadikan tempat berehat pekerja di kawasan tersebut.
Api yang marak begitu cepat mengakibatkan pekerja tidak sempat menyelamatkan ayam-ayam ternakan di situ.
Seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak serta BBP Bukit Gambir dibantu sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT), dua Jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), satu jentera Fire Response Vehicle (FRV) dan satu lori tangki bergegas ke tempat kejadian.
Menurut Ketua Operasinya, Penolong Penguasa Bomba Rafiah Abdul Aziz, pihaknya mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk mengawal kebakaran.
"Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula dari kotak suis dalam ruang bilik rehat itu. Tiada pekerja yang cedera atau melibatkan kemalangan jiwa. Ayam ternakan mati kerana kebakaran dan sesak nafas akibat asap tebal.
"Punca sebenar kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Operasi ditamatkan pada jam 3.54 petang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.