Generasi kulit hitam tidak alami perubahan besar hak asasi

Iklan
Penduduk kulit hitam masih belum menikmati kebebasan hak asasi manusia yang sepenuhnya di Amerika Syarikat. -Foto AFP

SELAMA tiga generasi, penduduk kulit hitam di Amerika Syarikat (AS) mempelajari tentang kisah-kisah yang sama tentang polis di negara itu.

Kebanyakannya bercakap di tepi majlis memperingati pemuda kulit hitam George Floyd yang didakwa meninggal dunia akibat perbuatan anggota polis berkulit putih.

Iklan
Iklan

Mereka berkata, tiada sebarang perubahan yang berlaku di AS sejak awal abad ke-20 lagi berhubung perjuangan untuk mendapatkan hak-hak asasi manusia yang adil.

"Beberapa perkara telah berubah. Namun, perubahan itu masih belum lagi mencukupi," kata Norman Mitchell kepada AFP pada majlis peringatan terakhir Floyd di Sekolah Tinggi Jack Yates di Houston.

Iklan

Bekas sekolah Mitchell itu berada di kawasan Third Ward yang didiami ramai penduduk kulit hitam.

Dia mengetahui bahawa kemajuan politik telah dilakukan oleh komuniti penduduk Afrika Amerika seperti memilih Barack Obama sebagai Presiden pertama dalam sejarah negara tersebut.

Iklan

Bagaimanapun, pada waktu yang sama, Mitchell menceritakan tentang diskriminasi yang perlu dihadapi oleh dia dan anaknya berikutan warna kulitnya.

"Ia hanya mengambil masa selama lapan minit 46 saat bagi seseorang menggunakan lutut pada leher individu lain untuk dunia melihat isu yang kami perjuangkan selama 100 tahun," katanya yang berusia 55 tahun.

Katanya, sejak dari kecil ayahnya sering mengingatkan agar berhati-hati apabila keluar dari rumah kerana terdapat kemungkinan polis berkulit putih menahannya tanpa sebab.

Katanya, dia kemudiannya menurunkan peringatan yang sama terhadap anaknya yang berusia antara 17 tahun hingga 32 tahun.

Sebelum ini, tindakan seorang pegawai polis berkulit putih yang menekan lututnya pada leher Floyd di sebatang jalan raya di Minneapolis, AS menusuk dalam hati anak lelaki bongsu Mitchell.

"Dia tidak fikir kejadian itu benar-benar terjadi sehingga 25 Mei lalu. Dia juga mengetahui cerita yang kami kongsikan selama bertahun-tahun," katanya.

Tambahnya, abangnya juga dibunuh oleh seorang anggota polis Houston pada tahun 1991.

Sementara itu, Laura Allen, 63, memberitahu dia pernah menyertai protes menentang keganasan polis yang bermula di jalan-jalan raya Texas ketika masih kecil.

"Saya berusia tiga atau enpat tahun bersama keluarga saya di jalan raya itu dan kami akan berarak untuk hak asasi manusia sama seperti kami lakukan bertahun-tahun lalu.

"Tidak banyak perubahan yang telah berlaku," tambahnya.

Seorang penunjuk perasaan berkulit hitam berdepan dengan polis pencegah rusuhan di Los Angeles baru-baru ini. - Foto AFP

Bekas pelajar sekolah Yates pada tahun 1975 itu membidas ketidakadilan dan dasar berat sebelah polis di Houston.

"Hampir setiap penduduk kulit hitam lelaki yang saya ketahui telah diprofilkan," katanya.

Seperti kebanyakan masyarakat kulit hitam yang lain, Allen mempunyai cerita tentang tangkapan secara sewenang-wenang oleh anggota polis.

Katanya, dia pernah ditahan polis hanya kerana membawa secawan gelas.

Pada tahun 1980, dia telah ditahan dalam satu lawatan ke Alabama bersama suami dan anak perempuannya.

"Sejurus selepas kami menyeberang sempadan Alabama, kami diberhentikan (oleh polis). Adakah ini kereta anda?," kata wanita yang mempunyai rambut beruban itu.

Sama seperti bapanya yang membawanya menghadiri protes kira-kira 60 tahun lalu, Allen juga menemani anak perempuannya, Leah minggu lalu ke perhimpunan besar-besaran di Houston yang dihadiri 70,000 orang bagi menuntut keadilan terhadap Floyd.

Sementara itu, Syreeta Polley, 38, berkata, kematian Floyd bukan yang pertama kerana ramai lagi mangsa yang terbunuh sebelumnya dengan merujuk kepada kematian pemuda kulit hitam, Philando Castile yang ditembak mati oleh pegawai polis semasa perhentian lampu isyarat dekat Saint Paul, Minnesota.

Sama seperti Floyd, detik-detik mengerikannya telah dirakamkan menerusi rakaman video.

Polley telah mengajar anak remaja perempuannya yang berusia 17 tahun, Nia Madison untuk menghormati pihak berkuasa tetapi berjaga-jaga menghadapinya.

"Pastikan anda sudah bersedia jika anda ditahan polis," kata Polley.

Malah, Ketua Polis Houston, Art Acevedo mengaku terdapat banyak kerja yang perlu dilakukan untuk mengubah pemikiran pasukan polis.

Penyanyi rap yang berpangkalan di Houston, William James Denis atau Willie D berharap kematian Floyd akan menjadi faktor mempercepatkan tindakan keadilan yang dituntut oleh segenap masyarakat di negara itu.

Artis itu berkata, penduduk kulit hitam boleh menggunakan kematian Floyd sebagai satu peluang singkat untuk menggerakkan AS ke arah lebih baik pada masa depan. - AFP