Remaja umur 18 tahun tidak boleh jadi calon di DUN Chini

Iklan
Azhar Azizan

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan mana-mana individu berusia 18 tahun menjadi calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang yang dijadualkan berlangsung pada 4 Julai hadapan.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, larangan itu dikuatkuasakan susulan pewartaan undang-undang membenarkan individu berusia 18 tahun untuk menjadi calon pilihan raya tertakluk di peringkat kerusi Parlimen sahaja.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pewartaan pindaan undang-undang SPR itu tidak terpakai bagi kerusi DUN kerana setiap negeri perlu meminda perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri terlebih dahulu.

"Kenapa (kerusi) Parlimen sahaja? Sebab untuk bertanding kerusi ADUN, setiap negeri perlu meminda perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri terlebih dahulu untuk diselaraskan dengan pindaan undang-undang SPR di peringkat Parlimen.

Iklan

"Pada masa ini hanya Perlis, Sabah, Terengganu dan Negeri Sembilan telah meminda untuk membenarkan individu berumur 18 tahun ke atas menjadi calon pilihan raya untuk kerusi ADUN.

"Negeri lain termasuk Pahang belum pinda, maka individu berusia 18 tahun tidak boleh menjadi calon pilihan raya DUN,” katanya dalam sesi wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di pejabatnya di Menara SPR di sini semalam.

Iklan

Pada 16 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi dan calon pilihan raya serta pendaftaran pengundi automatik kepada 18 tahun.

Bagaimanapun, sebelum ini, Azhar Azizan berkata, SPR memerlukan masa sekurang-kurangnya setahun setengah untuk melaksanakan keputusan pindaan Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Beliau menegaskan, pada masa ini telah dipersetujui oleh Parlimen bahawa kebenaran individu berusia 18 tahun untuk menjadi calon pilihan raya bagi kerusi Parlimen boleh dikuatkuasakan serta-merta.Kuat kuasa

Dalam perkembangan lain, Azhar Azizan turut menjelaskan sebab utama remaja 18 tahun masih belum dibenarkan mendaftar sebagai pengundi dan mengundi oleh SPR meskipun pindaan Perlembagaan Persekutuan telah dilaksanakan.

Katanya, perkara itu disebabkan terdapat persetujuan di peringkat Parlimen di mana pewartaan kebenaran rakyat Malaysia berumur 18 tahun yang mahu didaftarkan sebagai pengundi pilihan raya hendaklah dikuatkuasakan bersama-sama dengan pendaftaran pengundi secara automatik.

"Kedua-dua pindaan itu hendak dikuatkuasakan bersekali, bukan satu per satu. Oleh itu, daripada pihak SPR, kita perlukan masa untuk menguatkuasakan pendaftaran secara automatik sebab kita belum ada sistem yang terperinci.

"Bagi urusan penyediaan sistem itu, SPR terpaksa mengadakan libat urus dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), kena tengok macam mana hendak siapkan spesifikasi sistem, Kementerian Kewangan (MOF) kena keluar tender dan dianugerahkan kepada kontraktor."Sekarang ini kontraktor terbabit tengah buat sistem pendaftaran pengundi secara automatik ini,” katanya.

Beliau berkata, SPR menyasarkan urusan penguatkuasaan pewartaan bagi pendaftaran pengundi secara automatik diselesaikan pada Julai 2021 bersekali dengan pewartaan kebenaran pendaftaran pengundi bagi umur 18 tahun."Bila kita hendak kuatkuasakan pendaftaran automatik, kita mesti ada satu kempen kesedaran besar-besaran untuk orang tukar alamat terkini pada kad pengenalan masing-masing.

"Sekarang ini pengundi berumur 21 tahun yang tidak berdaftar adalah seramai lebih kurang 4.3 juta.

"Bila daftar automatik, kesemua 4.3 juta itu akan terus berdaftar bersama-sama yang rakyat berumur 18 tahun itu.

"Saya rasa kalau tahun lepas kita kuatkuasakan, akan ada 5.5 juta pengundi baharu tetapi alamat dah tukar ke? Flat Pekeliling (di Kuala Lumpur) yang sudah tidak ada pun, masih ada beralamat di situ. Malah, Sulaiman Court dekat Sogo masih ada orang alamat di situ sedangkan tempat itu sudah tidak ada sejak 40 tahun lalu.

"Sebelum SPR kuatkuasakan pendaftaran pengundi secara automatik, kita kena adakan kempen kesedaran untuk orang tukar alamat. Jika tidak, daftar pengundi tersebut akan nampak kotor. Itu masalah praktikal yang SPR hadapi,” katanya.