SHAH ALAM - Perbadanan Nasional Berhad (PNS) sentiasa memantau dan memberikan bantuan kepada usahawan francais di negara ini sepanjang pandemik koronavirus (Covid-19) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Bahagian Pembangunan Francais PNS, Mazlan Ibrahim berkata, pihaknya telah memberikan moratorium selama enam bulan bermula Mac sehingga Ogos tahun ini bagi pembayaran balik pinjaman francais dan sewaan hartanah.
"Moratorium ini sebenarnya kita berikan lebih awal kerana melihat sejak suku kedua tahun lalu ekonomi menguncup disebabkan oleh perang perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China. Impak tersebut lebih besar pada November di mana penularan Covid-19 berlaku di China.
"Sebab itu kita mula berikan moratorium lebih awal kepada usahawan francais kita. Apabila kerajaan umumkan moratorium selepas itu, kita turut serta sambung moratorium," katanya pada Webinar Bizfrancais: Francais di Bawah Norma Baharu di Dewan Karangkraf di sini hari ini.
Beliau berkata, sepanjang pelaksanaan PKP, hanya sebilangan perniagaan dibenarkan beroperasi dan menyebabkan usahawan francais lain berdepan situasi sukar, namun pakej rangsangan oleh kerajaan banyak membantu mereka.
"Pertama kita pihak PNS, kita telah berikan moratorium. Kedua insentif kerajaan kepada majikan ini membantu usahawan membayar gaji pekerja. Dengan itu usahawan francais ini boleh bertahan bagi meneruskan kelangsungan perniagaan mereka," katanya.
Menurutnya, selepas kerajaan mengumumkan membenarkan aktiviti perniagaan beroperasi, terdapat syarikat membuat jualan yang bagus.
"Apabila kita melihat kepada situasi semasa, proses pemulihan ekonomi perniagaan francais ini ada grafnya v, u dan l. Kita nampak ada grafnya v. Sebagai contoh kita ambil perniagaan gunting rambut di mana ramai yang menggunakan perkhidmatan tersebut dan ia sesuatu yang positif buat usahawan.
"Saya tidak kata keadaan ini akan berlaku setiap bulan tetapi dengan graf v ini, mereka dapat kekal dalam perniagaan," katanya.
Jelasnya, dalam menghadapi pasca Covid-19 dan normal baharu kehidupan, PNS terus menyokong industri francais menerusi pelbagai usaha termasuklah mempromosikan melalui seminar dalam talian (online) dan Webinar.
"Kita juga mewujudkan produk-produk yang lebih kompetitif seperti pembiayaan Recurve, program wanita, belia dan siswazah.
"Selain itu kita juga mengekalkan skim-skim sedia ada bagi membantu perniagaan francais terus berkembang maju," katanya.
Tambah Mazlan, francais merupakan sistem perniagaan yang praktikal di mana francais diberikan sokongan oleh francaisor melalui prosedur operasi standard (SOP) yang lengkap untuk menjalankan perniagaan tersebut.
"Ia juga kurang berisiko kerana mempunyai jenama yang telah dikenali," katanya.