Pasar pagi, pasar terbuka, pasar malam dan bazaria dibuka Isnin

Iklan
Kok Seong menunjukkan perincian SOP pembukaan pasar pagi, malam dan bazaria di Negeri Sembilan.

SEREMBAN - Pasar pagi, pasar malam, pasar terbuka dan bazaria di Negeri Sembilan dibenar beroperasi secara berperingkat bermula Isnin ini.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong berkata, pembukaan secara berperingkat itu bagi pasar terbuka atau pasar pagi bermula 6 pagi sehingga 11 pagi, pasar malam jam 4 petang sehingga 10 malam dan bazaria bermula 5 petang sehingga 11 malam.

Iklan
Iklan

"Lokasi hendaklah diadakan di kawasan terbuka atau kawasan berpagar dan mengenai laluan masuk dan laluan keluar, kita sudah memberi arahan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mengikut praktikaliti masing-masing.

"Justeru, PBT boleh berbincang dengan penganjur dan persatuan peniaga supaya dapat mencapai kata sepakat selain tidak berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP)," katanya pada sidang akhbar di Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, untuk itu, PBT di semua daerah akan mengadakan sesi pertemuan dengan peniaga dan persatuan peniaga bagi memperincikan SOP yang ditetapkan di samping memastikan pengunjung mengikut SOP.

Katanya, meskipun jarak antara gerai yang disyorkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah 2 meter tetapi kerajaan negeri membenarkan jarak sosial minimum 1.5 meter.

Iklan

"Saya ada berjumpa dengan wakil peniaga dan penjaja di mana mereka ada cadangkan jarak antara gerai itu diletakkan 1 meter sahaja. Ini satu pandangan dari mereka dan kita mengambil kira apa yang dicadangkan itu.

"Bagaimanapun, yang paling penting adalah pengunjung amalkan penjarakkan sosial, peniaga perlu memakai topeng muka dan elakkan membawa kanak-kanak berumur 13 tahun ke pasar malam atau pasar terbuka," katanya.

Kok Seong berkata, kerajaan negeri menegaskan tidak akan membenarkan pekerja asing menjalankan operasi di gerai atau tempat disediakan di pasar pagi, terbuka dan malam.

"Penganjur dan persatuan yang menguruskan pasar perlu memastikan ada kakitangan yang membuat saringan suhu setiap kali masuk ke dalam pasar selain menyediakan aplikasi QR Code dan MySejahtera untuk rekod kehadiran.

"PBT akan sentiasa memantau situasi di setiap premis bagi memastikan semua pihak memainkan peranan dalam mencegah penularan pandemik koronavirus (Covid-19,)" katanya.