Penarik beca rayu diberi pekerjaan sementara

Iklan
Abdul Latiff menunjukkan becanya yang tidak beroperasi sejak 18 Mac lalu kerana PKP dilaksanakan.

GEORGETOWN - Persatuan Penarik Beca Pulau Pinang memohon Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mempertimbangkan cadangan untuk diberikan pekerjaan sementara berikutan punca pendapatan mereka terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

Pengerusinya, Abdul Latiff Mohd berkata, pihaknya merayu bantuan MBPP itu kerana kira-kira 120 penarik beca berdaftar hilang punca pendapatan kerana tiada pelancong susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lebih teruk, ada sebilangan penarik beca terpaksa tidur di beca masing-masing kerana gagal melunaskan bayaran sewa bilik.

"Sebelum ini, pendapatan kami antara RM60 hingga RM100 sehari, namun setelah PKP dilaksanakan kerana Covid-19, pendapatan kami terjejas teruk. Nak dapat RM1 pun susah. Tiada pelancong, sama ada luar atau dalam negara kerana semua pihak tidak dibenarkan keluar rumah.

Iklan

"Kehidupan kami amat terjejas, ada yang perlu tidur dalam beca sendiri kerana tidak mampu bayar sewa bilik. Oleh itu, kami berharap agar MBPP atau kerajaan negeri membantu kami dengan memberi kami pekerjaan sementara. Tidak kisah kerja apa sekali pun, asalkan ada pendapatan tetap," katanya kepada media di Jalan Kapitan Keling di sini hari ini.

Pendapatan penarik beca di Pulau Pinang terjejas akibat PKP yang mana tiada pelancong yang datang ke negeri ini.

Beliau berkata, pekerjaan yang dimohon itu hanya untuk sementara sehingga keadaan kembali pulih.

Iklan

"Pekerjaan apa pun tak kisah, tukang kebun atau tukang sapu, pun boleh. Bukannya selama-lamanya. Sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini sementara keadaan kembali pulih. Kami perlu wang untuk kelangsungan hidup. 97 peratus punca pendapatan kami terjejas akibat PKP.

"Memang benar ada bantuan yang disalurkan melalui Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang bernilai RM500 'one-off' dan elaun mingguan sebanyak RM20. Namun ia tidak mencukupi sehingga hujung tahun ini walaupun kami berjimat cermat membelanjakannya.

"Oleh itu, kami berharap agar cadangan permohonan kami ini diperhalusi oleh MBPP atau kerajaan negeri. Kami tidak tahu lagi nak minta bantuan dari siapa," katanya.

Salah seorang penarik beca, Bakri Abdullah,67, berkata, dia bersetuju dengan cadangan tersebut kerana kehidupannya kini umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

"Saya setuju jika MBPP atau kerajaan negeri membantu penarik beca dengan memberi pekerjaan sementara. Sekurang-kurangnya kami ada pendapatan tetap bagi menyara keluarga dan diri sendiri.

"Saya tidak kisah kerja apa sekali pun, yang penting ada pendapatan. Kehidupan kami amat terdesak kerana tiada pendapatan tetap. Walaupun PKP telah ditamatkan, pelancong masih kurang," katanya.

Dalam perkembangan sama, Presiden Komuniti India Muslim Malaysia (IMCom), Mohd Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, situasi yang dihadapi golongan penarik beca tersebut akan menjejaskan industri pelancongan negeri ini jika tiada bantuan dihulurkan.

Menurutnya, lebih menyedihkan, ada sebilangan penarik beca terpaksa menjadi gelandangan apabila tiada tempat tinggal.

"Kebanyakan mereka terdiri daripada warga emas. Jika kehidupan tidak terurus dengan tidur di kaki lima dan dalam beca sendiri, ia akan memberi kesan negatif ke atas kesihatan mereka.

"Oleh itu, saya berharap kerajaan negeri atau MBPP mempertimbangkan dan memperhalusi cadangan ini agar nasib golongan penarik beca terbela. Mereka ini antara tarikan pelancong di Pulau Pinang. Kita juga tidak mahu warisan dan tarikan ini terkubur begitu sahaja," katanya.

Sementara itu, usaha Sinar Harian untuk mendapat maklum balas dari Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang gagal apabila beliau tidak menjawab panggilan telefon dan tidak membalas WhatsApp.