Pasukan khas pantau pematuhan SOP PKPP di Pulau Pinang

Iklan
Sahabudin melalukan pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki masjid.

KEPALA BATAS - Polis menubuhkan pasukan khas bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi orang ramai yang kini lebih bebas untuk bergerak selepas perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 10 Jun lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, sebanyak 140 pasukan ditubuhkan untuk kontinjen Pulau Pinang yang akan memantau tempat tumpuan awam termasuk rumah ibadat dan pusat beli-belah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pasukan itu juga akan memantau aliran trafik di beberapa jalan utama bergerak lancar berikutan ramai yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung selepas kerajaan menarik semula larangan merentas negeri.

"Kita menjangkakan aliran trafik bermula hari ini akan sesak dengan pertambahan kenderaan sehingga hujung minggu ini dan pasukan pemantau akan pastikan semuanya berjalan lancar untuk keselesaan semua pengguna jalan raya.

Iklan

"Selain itu, pasukan khas ini juga akan melakukan pemeriksaan di pasar awam dan pasar malam serta tapak pembinaan bagi memastikan orang ramai tidak mengabaikan SOP dalam mengekang penularan Covid-19," katanya ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid At-Taqwa di sini hari ini.

Jemaah di Masjid At-Taqwa mendengar khutbah yang disampaikan sebelum solat Jumaat hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid.

Iklan

Mengulas mengenai pematuhan SOP di masjid selepas kerajaan negeri membenarkan penambahan jumlah jemaah kepada 40 orang untuk solat Jumaat hari ini, Sahabudin berkata, pihaknya berpuas hati dengan pematuhan SOP yang dilakukan di semua masjid di negeri ini.

Katanya, walaupun terdapat kes jemaah yang tidak tersenarai hadir untuk solat Jumaat hari ini, namun perkara itu dapat diatasi dengan berhemah oleh pengurusan masjid dan mereka akur untuk pulang.

"Kita turut menempatkan seramai 212 pegawai pemantau masjid bagi memastikan semua mematuhi garis panduan ditetapkan bukan sahaja untuk solat Jumaat malah solat fardu yang lain.

"Setakat ini saya tidak menerima laporan mengenai pelanggaran SOP sama ada di masjid mahupun rumah ibadat lain di negeri ini," katanya.