Bekas peguam OKU didakwa pecah amanah lebih RM300,000

Iklan
Tertuduh yang juga OKU ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas dakwaan pecah amanah.

MELAKA TENGAH - Seorang bekas peguam yang juga orang kurang upaya (OKU) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas enam pertuduhan melakukan pecah amanah berjumlah RM358,344.08.

Tertuduh, Tuah Jantan,60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Iklan
Iklan

Berdasarkan kesemua pertuduhan, warga emas tersebut yang ketika kejadian bekerja sebagai peguam di firma Guaman Tetuan Tuah, Hilmy dan Hazudin didakwa melakukan pecah amanah membabitkan wang bayaran urusan penjualan lesen institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), bayaran pendahuluan pembelian rumah dan wang taruhan projek keseluruhan berjumlah RM358,344.08.

Kesalahan dilakukan tertuduh menerusi enam transaksi berasingan melalui akaun CIMB Bank milik firma guaman pada Oktober 2005 hingga November 2007 di Taman Melaka Raya.

Iklan

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minima dua tahun dan maksima 20 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Terdahulu, Hayatul Wirdah memohon jaminan RM60,000 bagi kesemua pertuduhan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan membabitkan empat pengadu berbeza.

Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah membenarkan jaminan rendah dengan alasan dia telah lama tidak bekerja dan tiada sumber pendapatan selain perlu ke hospital dua kali sebulan bagi mendapatkan rawatan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM28,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 28 Julai depan bagi sebutan semula kes.