Pendaftaran perkahwinan bukan Islam dibenarkan di 171 rumah ibadat

Iklan
Pendaftaran perkahwinan bagi pasangan bukan Islam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) adalah dibenarkan di 171 rumah ibadat yang diluluskan. - Foto 123RF

PUTRAJAYA - Pendaftaran perkahwinan bagi pasangan bukan Islam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) adalah dibenarkan di 171 rumah ibadat yang diluluskan untuk beroperasi oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bermula Rabu lepas.

"Oleh yang demikian, pasangan-pasangan yang ingin menjalankan pendaftaran perkahwinan di rumah ibadat diminta merujuk senarai rumah ibadat yang diluluskan," menurut KPN dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan
Iklan

KPN memaklumkan, sekiranya rumah ibadat yang dipilih belum mendapat kelulusan untuk beroperasi, proses pendaftaran perkahwinan adalah tertakluk kepada garis panduan terkini oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) setelah mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Buat masa ini, menurut KPN jumlah rumah ibadat yang diluluskan masih sama dan pihak kementerian itu juga sedang meneliti permohonan yang telah diterima daripada beberapa rumah ibadat lain untuk memulakan operasi.

Iklan

"Permohonan-permohonan ini akan dibawa oleh pihak kementerian kepada Mesyuarat Khas Menteri-menteri untuk kelulusan," menurut KPN.

KPN memberitahu, JPN perlu merujuk kepada kementerian itu bagi mendapatkan senarai terkini rumah ibadat yang telah diluluskan untuk beroperasi termasuk urusan pendaftaran perkahwinan.

Iklan

KPN dalam satu kenyataan pada 28 Mei lepas menyatakan rumah ibadat bukan Islam yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan boleh mula beroperasi pada 10 Jun mengikut Prosedur Operasi Standard Ibadat Dalam Zon Hijau.

Pada Ahad lepas, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, semua pendaftaran perkahwinan bukan Islam yang terjejas perlu diselesaikan sebelum 31 Julai ini supaya mereka tidak perlu membuat permohonan baharu dan membayar fi sekali lagi. - Bernama