SHAH ALAM - Masyarakat seluruh dunia diseru untuk sama-sama mengambil tanggungjawab dalam menyelesaikan isu-isu kemanusiaan terutamanya berkaitan pelarian.
Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, selain masalah wabak koronavirus (Covid-19), isu pelarian dilihat amat meruncing dan memerlukan penyelesaian segera kerana terdapat jutaan orang tanpa kewarganegaraan kini terpaksa menjadi pelarian.
Beliau berkata, malah jutaan anak kecil, wanita serta golongan berusia dilaporkan mati kerana keengganan negara ketiga menerima mereka.
Katanya, berkongsi pengalaman Malaysia sendiri dalam menangani isu itu, ia jauh lebih menakutkan daripada berdepan pandemik Covid-19.
"Malaysia pernah menangani masalah pelarian Vietnam yang mendarat di Malaysia, tetapi atas faktor kemanusiaan mereka ini ditempatkan di sebuah pulau dan kita jaga dengan sebaiknya.
"Kini Malaysia sekali lagi berdepan masalah orang-orang yang tidak diingini iaitu pelarian Rohingya yang mendarat di negara ini, selain pendatang haram tanpa izin (PATI) dari negara-negara jiran," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi diskusi UPF Southeast Asia 'Peace Talks' Webinar bertajuk 'Challenges in Governance in Our Time of a Global Pandemic: Southeast Asian Perspective' bersama beberapa wakil dari negara-negara Asia Tenggara di sini semalam.
Muhammad Nasir berkata, sekali lagi atas dasar kemanusiaan, Malaysia tidak boleh menolak kehadiran pelarian Rohingya ini walaupun sedar mereka ini menjadi masalah kepada negara.
"Walaupun Malaysia sangat bertoleransi dalam isu pelarian Rohingya, secara peribadinya saya merasakan semua negara dalam dunia termasuk negara-negara besar perlu berkongsi beban ini bersama.
"Isu pelarian Rohingya tidak menjadi masalah Malaysia sekiranya negara-negara maju lain berkongsi dan mengamalkan semangat kemanusiaan," katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Nasir berkata, untuk menyelesaikan isu-isu kemanusiaan, semua pihak juga perlu menyelesaikan terlebih dahulu isu keharmonian sesama mereka.
"Dalam situasi ini, masyarakat seluruh dunia perlu hidup dalam suasana harmoni serta perlu ada rasa hormat kepada orang sekeliling, keluarga, jiran tetangga, pemimpin, negeri serta negara.
"Dengan itu, barulah kita dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik," katanya.