KUALA LUMPUR - Aset yang dikendalikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga kini hampir mencecah RM1 trilion dengan keahlian seramai 14.6 juta.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, daripada jumlah tersebut, 7.6 juta adalah pencarum aktif manakala majikan yang mencarum seramai 522,267.
"Simpanan hari tua mereka merupakan amanah yang besar.
"Alhamdulillah setakat ini pihak KWSP dilihat melaksanakannya dengan baik dan penuh tanggungjawab," katanya pada sidang media sempena lawatan beliau ke pejabat KWSP Jalan Raja Laut di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir dan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias.
Berhubung program i-Lestari bagi pengeluaran Akaun 2, Tengku Zafrul berkata, setakat ini KWSP mencatatkan pengeluaran berjumlah lebih kurang RM1.9 bilion sebulan.
Menurutnya, jumlah tersebut menunjukkan ramai rakyat yang memerlukan wang tunai dalam mengharungi cabaran pandemik Covid-19.
Katanya, program yang diumumkan Perdana Menteri pada akhir Mac itu memberi peluang kepada pencarum untuk mengeluarkan RM500 sebulan selama 12 bulan daripada Akaun 2.
"Ini hanya langkah jangka pendek, maka kita harap pencarum dapat menggunakan kesempatan ini untuk membantu aliran tunai mereka buat masa ini.
"Ini bukan wajib tapi sukarela bagi pencarum yang memerlukan. Kalau tidak perlu, buat apa nak keluarkan.
"Untuk jangka panjang selepas 12 bulan itu, kita harap ekonomi semasa akan bertambah baik," katanya.