KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan rasa bangga terhadap para jemaah yang mematuhi peraturan dengan tertib ketika menunaikan solat Jumaat, setelah masjid dan surau dibuka semula pada hari ini.
Melalui pemerhatiannya ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara di sini hari ini, Muhyiddin berkata, jemaah memberikan kerjasama baik dengan berbaris dan merekodkan bacaan suhu badan masing-masing sebelum dibenarkan memasuki masjid.
Beliau berkata, jemaah juga membawa sejadah sendiri dari rumah dan duduk pada jarak satu meter antara jemaah dalam saf.
Pengurusan masjid juga telah memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dipatuhi.
"Saya berdoa situasi Covid-19 di negara kita yang semakin reda akan pulih sepenuhnya bagi membolehkan seluruh umat Islam dapat menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid dan surau seperti sebelum wabak ini melanda negara kita. Insya-ALLAH," katanya menerusi catatan di Facebook beliau.
Perdana Menteri turut berkongsi beberapa keping gambar, antaranya memaparkan beliau yang membawa sejadah sendiri mengisi rekod kehadiran.
Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, masjid dan surau Jumaat tidak dibuka untuk aktiviti solat berjemaah sebaliknya umat Islam disaran menggantikan solat Jumaat dengan sembahyang Zohor di rumah.
Pada 15 Mei, solat Jumaat dan solat berjemaah dibenarkan semula di masjid, surau Jumaat dan surau terpilih dalam Zon Hijau Covid-19 di Wilayah Persekutuan dengan bilangan jemaah minimum tiga orang tidak termasuk imam dan tidak melebihi 30 orang.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan semua masjid, surau Jumaat dan surau dalam Zon Hijau di Wilayah Persekutuan dibuka secara berperingkat bagi solat Jumaat dan solat berjemaah dengan peluasan bilangan satu pertiga daripada jumlah kapasiti jemaah bagi dewan solat utama bermula hari ini. - Bernama