SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengakui berpuas hati dengan penerangan yang diberikan Tenaga Nasional Berhad berhubung cara pengiraan bil elektrik ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjadi rungutan pengguna ketika ini.
Presidennya, Adnan Mat berkata, Cuepacs mendapati cara pengiraan bil tersebut bukanlah dibuat secara sekali gus untuk tiga bulan sehingga menyebabkan bil menjadi tinggi seperti yang ditularkan oleh sesetengah pihak di media sosial.
Menurutnya, pengiraan bil tersebut juga telah disemak dan dipersetujui oleh Suruhanjaya Tenaga serta disahkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.
"Berdasarkan penjelasan daripada TNB, peningkatan bil berlaku disebabkan trend penggunaan elektrik yang sememangnya meningkat kerana mereka terpaksa berada di rumah sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.
"Salah faham ini mungkin berlaku disebabkan penggunaan istilah korporat yang digunakan iaitu kaedah bacaan prorata sehingga sukar difahami kebanyakan pihak,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Beliau berkata demikian selepas diberikan taklimat mengenai cara pengiraan bil TNB semasa PKP, trend penggunaan elektrik, inisiatif pelan bayaran mudah TNB serta isu bil elektrik yang tinggi diterima oleh rakyat sepanjang tempoh PKP sebelum ini.
Hadir sama pada pertemuan itu, Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman serta Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Noor Afifah Abdul Razak.
Justeru, Cuepacs berharap TNB dapat menggunakan istilah atau penyampaian yang lebih mudah difahami pada masa akan datang dan pada masa sama menasihatkan pengguna yang mempunyai masalah dengan bil mereka agar menyemak kembali dengan pihak TNB.
Katanya, TNB telah memaklumkan akan memberikan komitmen sebaiknya bagi menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi oleh pengguna dengan sewajarnya.
"Cuepacs juga berterima kasih atas keprihatinan TNB yang menyediakan Pelan Bayaran Mudah secara automatik sehingga 31 Disember 2020 kepada pengguna yang mempunyai masalah.
"Jadi dengan inisiatif ini, Cuepacs berharap ia dapat memberi kelegaan kepada rakyat dan dapat dipanjangkan lagi ke satu tempoh masa sekiranya mendapati ada keperluan untuk diberikan kepada pengguna,” katanya.
Dalam pada itu, Adanan berkata, Cuepacs turut mengharapkan TNB serta kerajaan selaku pembuat dasar dapat menilai kembali pemberian diskaun bayaran TNB kepada pengguna sepanjang tempoh PKP berlangsung.
Katanya, Cuepacs berpendapat bahawa pemberian diskaun itu perlu dinilai semula supaya inisiatif tersebut dapat membantu rakyat yang sedang mengalami kesusahan ketika ini.
"Cuepacs menghargai pemberian diskaun berjumlah RM279 Juta setakat 5 Jun 2020, namun ia perlu dinilai semula terutamanya bagi mereka yang mempunyai jumlah penggunaan elektrik yang tinggi disebabkan pelaksanaan PKP untuk meringankan sedikit bebanan yang dihadapi rakyat,” ujarnya.