PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan mereka sengaja menangguhkan pemergian Luqman Hakim Shamsudin ke kelab Belgium, FV Kortrijk atas sebab pampasan mahupun yuran perpindahan.
Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, penangguhan itu disebabkan pihaknya mahu mengadakan perbincangan bersama Luqman Hakim dan ejennya berhubung beberapa perkara.
"Perkara ini (penangguhan pemergian Luqman ke Belgium) tidak ada kena mengena langsung dengan pampasan atau yuran perpindahan. Sebenarnya ada perkara kami nak bincangkan demi kebaikan Luqman.
"Kami sebenarnya tidak mempunyai masalah untuk melepaskan Luqman. Jadi perbincangan kita nanti bukannya perbincangan untuk tidak melepaskan Luqman, tetapi perbincangan untuk melepaskan dengan bersyarat,” katanya kepada Sinar Harian.
Shahril memberitahu, pemergian Luqman yang juga produk sulung daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) ke Belgium juga tidak semestinya berlaku pada minggu hadapan sebagaimana yang dilaporkan pihak media sebelum ini.
"Luqman boleh pergi ke Belgium pada bila-bila masa setelah semua perbincangan selesai diadakan dalam tempoh sehari dua ini. Pihak FV Kortrijk juga telah menghubungi kami, tetapi ada beberapa perkara yang perlu kami bincang dengannya.
"Dia masih muda dan kami ada sudah ada perancangan untuknya dan kami tak mahu perancangan itu terbantut. Saya hanya berharap apa yang kami bincangkan itu nanti akan turut dibincangkan dengan kelab Belgium berkenaan.
"Mengenai kontrak Luqman dengan FAS, memang ada klausa yang mengatakan dia boleh beraksi dengan FV Kortrijk. Kita pun faham, ini adalah peluang untuk Luqman mengembangkan kariernya dan kami juga tidak mahu tengok dia terus ‘tersekat’ di sini,” jelasnya.