Nasib pencuri petai

Iklan

RIUH rendahlah dalam media sosial orang bercakap pasal kes Mohd Saipul Rozman Romeli dan dua sahabat yang dipenjara tiga bulan kerana mencuri petai. Mahkamah Majistret Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman itu pada mereka bertiga. Kes itu dibandingkan pula dengan satu kes membabitkan mantan orang besar Sabah.

Maka warga media sosial bertanya apakah undang-undang mengenal darjat dan kedudukan? Atau apakah undang-undang ada kelas dan kasta?

Iklan
Iklan

Awang percaya mereka yang berbahas hal itu dalam media sosial bukanlah berniat untuk mempersoalkan tindakan pihak pendakwa, apa lagi untuk menghina mahkamah. Tujuan mereka adalah untuk sama-sama mengingatkan tentang prinsip undang-undang. Siapa sahaja yang didakwa perlu didakwa sepenuhnya. Biarlah mahkamah yang membuat keputusan muktamad. Tak timbul soal tarik balik tuduhan atau kes.

Rakyat takut akan ada lagi kes besar dan sensasi yang mati di tengah jalan. Tiba-tiba keputusan dibuat untuk menarik balik kes atau entah bagaimana mendapati bahawa ada deal antara pendakwa dan yang tertuduh.

Iklan

Rakyat tak mahu tahu betapa banyak kes disiasat atau yang dibawa ke mahkamah tapi mereka nak tahu apa yang berlaku pada kes itu di mahkamah.

Kita tak tahu apakah tujuan Mohd Saipul, bekas polis itu dan kawan-kawannya mencuri petai. Mereka bersalah dan mereka dihukum.

Iklan

Itulah namanya keadilan.

Pentingnya panel pemantau SPRM

AWANG bersetuju sangat dengan pandangan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar yang meminta kerajaan supaya segera melantik anggota beberapa buah panel bagi memantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Di antara panel itu ialah Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPT) dan Panel Operasi.

Syor itu dibuat berikutan dakwaan oleh pembantu seorang mantan menteri bahawa beliau dikasari pegawai SPRM sewaktu diminta memberikan keterangan berhubung satu kes.

Menurut Johan, dua panel berkenaan masih belum diisi keanggotaannya sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkuasa lagi.

Rakyat percaya bahawa ramai pegawai SPRM telah menjalankan tugas dengan penuh integriti dan profesional. Oleh sebab itu, dakwaan tersebut perlu disiasat segera sampai ke akar umbi. Jangan sampai dek nila setitik, habis rosak susu sebelanga.

Awang mahu SPRM menjalankan tugas tanpa was-was. Tidak ada pihak yang harus mengenakan sebarang desakan. Malah SPRM sendiri bukan sahaja harus bebas tetapi perlu dilihat bebas.

Apa pun, banyak perubahan telah berlaku kepada SPRM sejak peristiwa Teoh Beng Hock satu ketika dahulu.

Peraturan dan SOP siasatan telah dibaiki bagi mengelak sebarang salah laku penyiasat. Awang mahu hal itu terus dikekalkan.

Oleh sebab itu panel pemantau SPRM sangat penting bagi mempertahankan nama baik institusi penting itu.