SELEPAS lebih dua bulan tiada solat Jumaat dan solat berjemaah akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19), umat Islam di Malaysia hari ini akhirnya menarik lafaz lega kerana dapat kembali menunaikan kewajipan itu di masjid dan surau.
Bagaimanapun, buat masa ini, hanya ‘insan terpilih’ yang dibenarkan mengimarahkan masjid dan surau di kawasan masing-masing kerana ancaman virus pembunuh itu masih ada.
Langkah melonggarkan kebenaran solat berjemaah di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) memberi harapan rumah-rumah ALLAH bakal dipenuhi aktiviti sedikit masa lagi.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran syarat mendirikan solat berjemaah dan Jumaat di seluruh negara adalah berasaskan keluasan masjid hanya tertakluk kepada warga tempatan dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan sosial.
Selain itu, di peringkat Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan masjid dan surau terpilih dalam zon hijau sahaja dibenarkan mengadakan solat Jumaat dan solat berjemaah secara berperingkat, dengan bilangan jemaah minimum tiga orang tidak termasuk imam dan tidak melebihi 30 orang.
Isi borang
Tinjauan Sinar Harian di seluruh negara mendapati jemaah yang hadir menunjukkan wajah keterujaan kerana ramai daripada mereka sudah datang sejak jam 12 tengah hari lagi.
Di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dilihat membuat sekatan di pintu masuk dan memeriksa suhu badan sebelum membenarkan jemaah mengimarahkan masjid.
JAIS juga menetapkan bahawa mereka yang ingin mengikuti solat Jumaat secara berjemaah di Selangor perlu membuat permohonan terlebih dahulu dengan mengisi borang yang disediakan pihak masjid atau melalui Google Form.
Seorang peniaga, Ahmad Zamri Mat Said, 49, berkata, dia amat teruja apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini memberi perkenan untuk membenarkan solat Jumaat melibatkan 40 orang jemaah di masjid.
Namun begitu, Ahmad Zamri berkata, dia terlepas pandang mengenai garis panduan ditetapkan oleh JAIS dan tidak membuat permohonan bagi mengikuti solat Jumaat itu.
"Saya saja datang awal hari ini sebab teruja nak solat Jumaat, dah lama tak solat di masjid. Tapi malangnya saya terlepas pandang tentang permohonan itu.
"Mungkin lepas ini saya akan buat permohonan untuk solat di masjid pada minggu berikutnya,” kata beliau.
Di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh, jemaah yang hadir mengucapkan kesyukuran kerana rindu mereka untuk menunaikan ibadah di masjid dapat ditunaikan semalam.
Seorang pesara kerajaan, Mohd Mokhtar Hamzah, 70, berkata, dia bertuah kerana mendapat panggilan daripada pihak masjid bagi membenarkannya menunaikan solat Jumaat semalam.
"Saya sangat bersyukur setelah lebih tiga bulan tidak dapat menunaikan solat Jumaat, hari ini (semalam) boleh berjemaah. Alhamdulillah, bila dapat panggilan daripada pihak masjid letakkan nama saya untuk solat Jumaat, saya gembira sangat. Harapnya selepas ini lebih ramai dapat solat Jumaat di masjid,” katanya.
Seorang lagi jemaah, kakitangan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh, Nor Hisham Mohd Idris, 55, berharap jumlah jemaah dapat ditingkatkan dari masa ke masa terutamanya kepada golongan muda.
Patuh SOP
Sementara itu di Pulau Pinang, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, walaupun kerajaan telah membenarkan pengurusan masjid untuk menjalankan aktiviti lain seperti kuliah, ceramah agama dan majlis akad nikah, namun perkara itu perlu diperhalusi dengan SOP yang ketat.
Menurutnya, pematuhan SOP yang ketat perlu dipastikan agar tidak berlaku sebarang risiko penularan wabak Covid-19 di masjid.
"Ya memang kami ada terima banyak permohonan daripada masjid-masjid untuk jalankan aktiviti lain selain solat tapi semua itu perlu dinilai terlebih dahulu bagi memastikan pengurusan masjid mematuhi arahan serta peraturan ditetapkan supaya dapat membendung penularan Covid-19.
"Kita sedang melakukan pemantauan dan menilai semua masjid sekarang ini sama ada ikut SOP yang disediakan ketika solat jemaah dan solat Jumaat. Jika mereka dapat ikut semua SOP, insya-Allah kita akan benarkan pengurusan untuk jalankan aktiviti lain sama seperti dulu,” katanya selepas hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid At-Taqwa di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Bermula semalam, semua masjid di Pulau Pinang diberi kebenaran untuk menambah bilangan jemaah untuk solat Jumaat di masjid kepada 40 orang manakala bagi solat yang lain hanya dibenarkan seramai 15 orang jemaah yang terdiri daripada pegawai dan jawatankuasa masjid.
Seorang jemaah, Zairuddin Ahmad, 57, pula melahirkan rasa syukur apabila terpilih untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid At-Taqwa selepas tidak dapat berbuat demikian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.
Beliau yang teruja hadir ke masjid lebih awal untuk mengaji al-Quran sementara menunggu untuk bersolat.
"Selepas lebih tiga bulan tidak dapat datang ke masjid, hari ini merupakan hari yang ditunggu. Alhamdulilah saya dapat solat Jumaat semula di masjid, perasaan itu tak dapat nak digambarkan,” katanya.
Pada 16 Mac lalu, Dr Zulkifli membuat pengumuman menangguhkan semua aktiviti di masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat fardu ekoran pelaksanaan PKP.
Negeri lain seperti Negeri Sembilan hanya akan membuka semula masjid dan surau pada minggu depan manakala di Kelantan keputusan yang sama akan ditentukan pada Isnin ini.
Kedah pula masih mengekalkan jumlah jemaah seramai 12 orang, sama seperti sebelum ini.
Pada minggu-minggu berikutnya, umat Islam perlu menjadikan penjarakkan sosial di masjid dan surau sebagai normal baharu yang perlu diikuti.