YANGOON - Sepucuk pistol revolver dan lima telefon bimbit dicuri daripada anggota-anggota polis yang sedang tidur, lapor portal berita Daily Eleven pada 11 Jun lalu.
Kejadian itu berlaku di sebuah dewan sembahyang di pekarangan Balai Polis Bandar Meiktila, Myanmar pada 9 Jun lalu.
Menurut sumber, seorang pegawai polis kanan daripada pasukan polis wilayah Mandalay datang ke balai polis tersebut untuk melakukan siasatan.
Anggota-anggota polis Wundwin, Thazi dan Mahlaing di daerah Meiktila sedang bertugas semasa penularan pandemik Covid-19 dan mereka tidur di dalam dewan sembahyang.
Seorang pegawai polis berpangkat sub inspektor menyimpan sepucuk revolver di dalam beg komputer riba dan dia tidur di dalam bilik sembahyang.
Pencuri tersebut mencuri telefon bimbit dan beg komputer riba yang mengandungi senjata api, kata seorang penduduk tempatan.
"Pencuri itu mengambil lima telefon bimbit dan sebuah beg komputer riba. Dia tidak mengetahui bahawa sepucuk revolver terdapat di dalam beg tersebut.
"Sub inspektor tidur selepas jam 2 pagi dan beberapa anggota polis tidur lewat daripadanya.
"Polis kini sedang memburu pencuri tersebut. Mereka (pegawai-pegawai polis) berpendapat pencuri itu memasuki bangunan dengan menggunakan tangga melalui tingkap," kata sumber tersebut.
Pengerusi parti Liga Kebangsaan Untuk Demorasi ( NLD) di Meiktila, Dr Win Soe Oo berkata:"Kini pencuri-pencuri amat berani. Saya tidak tahu kenapa tangkapan yang dibuat polis tidak menakutkan mereka. Saya dengar kecurian berlaku di bandar.
"Kebanyakan pencuri mencuri motosikal dan telefon bimbit. Saya rasa kagum dengan mereka yang berani mencuri dari dalam bangunan balai polis. Bermula hari ini, kita perlu lebih berhati-hati.”
Pihak polis membuat laporan di bawah undang-undang senjata Pa 285/2020 Mengenai Senjata Api (Penalti Kecemasan) dan Seksyen 380 Penal Kod di balai polis tersebut. - Agensi